Anda di sini

BR1M diteruskan legakan penduduk kampung

Advertisement

TENOM: Keputusan pihak kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan oleh Barisan Nasional (BN) memberikan nafas lega kepada penduduk kampung.

Pengerusi JKKK.Kg Sugiang Tengah, Salim Amil, 62, berkata, penduduk kampung amat setuju dengan keputusan pihak kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang baru, Tun Dr.Mahathir Mohamad untuk meneruskan BR1M.

NASIP Ampiu.
NASIP Ampiu.

“Sebelum pilihanraya yang lalu BR1M menjadi antara persoalan penduduk kampung sekiranya kerajaan bertukar tangan, kerana mereka risau sekiranya bantuan seperti BR1M dihentikan.

“Orang kampung tertanya-tanya dan akhirnya terjawab apabila Perdana Menteri memgumumkannya kepada rakyat baru-baru ini," katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Bagi Pengerusi JKKK. Kg. Maugus, Nasip Ampiu, 54, menyokong kerajaan untuk meneruskan BR1M kerana dapat membantu meringankan beban rakyat.

SALIM Amil.
SALIM Amil.

“Harga barang telah meningkat naik tetapi pendapatan penduduk kampung tidak menentu dan dengan adanya BR1M, ia amat membantu kami untuk membeli barang-barang keperluan harian.

“Kami juga berharap BR1M ini akan dapat diteruskan dan dinaikkan jumlahnya walaupun bertukar kerajaan di masa-masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kg.Kalibatang Lama, Akim Basi, 62 dan Ketua Kg.Kalibatang Lama, Soon Gumpong, 62 turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana meneruskan pelaksanaan BR1M yang telah dilaksanakan oleh kerajaan BN dahulu.

“Ini akan menambah keyakinan rakyat terhadap kerajaan baru yang memerintah untuk sentiasa menjaga kebajikan dan menangani kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

Katanya, orang kampung yang tidak mempunyai pendapatan tetap amat berharap supaya BR1M ini dikekalkan dan jangan dimansuhkan oleh pihak kerajaan.

 AKIM Basi (kanan) dan Soon Gumpong (kiri).
AKIM Basi (kanan) dan Soon Gumpong (kiri).

“Nilainya mungkin tidak banyak bagi sesetengah orang tetapi amat membantu bagi kami yang berpendapatan rendah," katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad mengumumkan akan meneruskan BR1M di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meringankan kos hidup golongan berpendapatan rendah namun akan mengkaji semula struktur bantuan itu supaya tidak dilihat sebagai alat untuk memberi rasuah kepada rakyat agar menyokong kerajaan.

Advertisement