Anda di sini

Warisan yakin PM akan lantik wakil rakyat dari Sabah

Advertisement
UDA (kiri) dan Awang (kanan) ketika ditemui pemberita.
UDA (kiri) dan Awang (kanan) ketika ditemui pemberita.

PUTATAN : Parti Warisan Sabah (Warisan) yakin kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan melupakan wakil rakyat dari negeri ini untuk dilantik menjadi menteri di peringkat pusat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Petagas Uda Sulai berkata, ia sudah menjadi tradisi setiap tahun yang mana akan ada wakil Sabah menerajui kepimpinan kerajaan baharu.

"Saya yakin bahawa Dr. Mahathir tidak akan melupakan Sabah dan akan melantik menteri yang bertanggungjawab daripada negeri ini khususnya dalam kalangan Ahli Parlimen Warisan yang menang.

"Pada saya isu ini tiada masalah kerana kerajaan dahulu tidak pernah mengabaikan rakyat Sabah, malah sudah ramai menteri yang dilantik adalah dari negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perayaan Tadau Kaamatan 2018 peringkat Kampung Kanangan Putatan, di sini pada Sabtu.

Uda yang juga Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri berkata, pelantikan menteri daripada wakil Sabah juga dilihat perlu bagi menyelesaikan beberapa isu penting yang melibatkan Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

Sehubungan itu, beliau berharap akan lebih ramai wakil rakyat daripada Sabah akan dilantik bagi pengumuman kedua kelak selepas pengumuman senarai awal barisan Kabinet pada Jumaat.

Mengenai kementerian baharu diwujudkan di bawah pentadbiran kerajaan baharu katanya, ia adalah langkah tepat dalam menyelesaikan isu-isu penting yang melibatkan adat negeri.

"Banyak perkara yang harus diketengahkan dengan melihat kepada masalah bumiputera termasuk melibatkan isu pentadbiran tanah, tanah adat, mahkamah selia dan sebagainya," katanya.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Sahari.

  • oleh
  • Advertisement