Anda di sini

Warisan, PKR hadiri taklimat Perbadanan Labuan

Advertisement

LABUAN: Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pada Jumaat menghadiri taklimat pengurusan dan pembangunan yang disampaikan oleh Perbadanan Labuan.

Warisan diwakili calon Labuan parti itu dalam PRU14 baru lalu, Noor Halim Datuk Haji Zaini, manakala PKR diwakili Ketua Cabang parti itu di sini, Simsudin Sidek.

“Taklimat disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbandanan Labuan, Datuk Azhar Ahmad,” kata Simsudin ketika dihubungi pemberita.

 AZHAR (dua kanan), Simsudin dan Noor Halim selepas taklimat.
AZHAR (dua kanan), Simsudin dan Noor Halim selepas taklimat.

Dalam pesanan media sosialnya, Noor Halim menyatakan pihak Perbadanan Labuan sedang mempersiapkan perubahan pengurusan pihak berkuasa pembangunan Wilayah Persekutuan itu bagi menyesuaikan penstrukturan pentadbiran baharu di peringkat kerajaan pusat.

Perbadanan Labuan yang sebelum PRU14 berada di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dijangka diletakkan di bawah seliaan sebuah kementerian lain bagi memudahkan penyaluran peruntukan untuk melaksanakan pembangunan di Labuan.

Pengurusan Perbadanan Labuan dikendalikan di bawah seorang pengerusi yang sebelum ini disandang Ahli Parlimen Labuan Umno, Datuk Rozman Isli dan dibantu Pengerusi Lembaga Penasihat yang sebelum ini disandang oleh Senator Umno Datuk Bashir Alias.

Bagaimanapun, penyandang kedua-dua jawatan tersebut luput serta-merta berikutan kekalahan teruk Umno kepada Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada PRU14 lalu.

Perbadanan Labuan merupakan pentadbir wilayah yang bertanggungjawab mengendalikan pembangunan pulau ini.

Ketika Labuan masih di bawah Kerajaan Negeri Sabah, pulau ini ditadbir oleh Pegawai Daerah dan seterusnya Presiden Majlis Perbandaran Labuan.

  • oleh
  • Advertisement