Anda di sini

PAS jadi pemantau prestasi wakil rakyat Batu Sapi

Advertisement

SANDAKAN: PAS Batu Sapi akan memantau prestasi wakil rakyat yang baharu sahaja memenangi kerusi Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Peranan tersebut akan dimainkan oleh PAS sebagai badan 'semak dan imbang' kepada wakil rakyat yang dipilih agar rakyat celik dengan tugasan yang telah disempurnakan di kawasan tersebut.

SAHAR Abdul Majid
SAHAR Abdul Majid

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah Sahar Abdul Majid ketika ditanya tentang perkembangan politik Batu Sapi di Pejabat PAS baru-baru ini.

Katanya lagi, rakyat menuntut perubahan yang dijanjikan seperti penyelesaian isu C3 Power, isu kemiskinan, infrastruktur dan pemilikan tanah di kampung-kampung.

"Apa yang lebih utama ialah pemerkasaan institusi agama untuk rakyat termasuk penambahan sekolah agama perlu disegerakan di kawasan ini," tambah Sahar.

Beliau juga mengharapkan agar wakil rakyat di kawasan tersebut dapat melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan berintegriti.

"PAS akan menyokong perkara yang baik untuk rakyat dan perkara yang sebaliknya pula akan ditegur khususnya perkara yang berkaitan dengan kepentingan rakyat," jelas Sahar lagi.

Terdahulu, Sahar juga menyampaikan ucapan tahniah kepada ketiga-tiga wakil rakyat daripada Parti Warisan Sabah yang telah memenangi kerusi Parlimen dan DUN yang dipertandingkan.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, ketiga-tiga calon daripada Warisan iaitu Datuk Liew Vui Keong, Arifin Asgali dan Hiew Vun Zin masing-masing telah memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi, DUN Sekong dan DUN Karamunting.

Advertisement