Anda di sini

Ketagihan alkohol di Sabah tinggi

Advertisement

Satu mekanisme perlu diwujudkan kawal keadaan


PENAMPANG: Kadar ketagihan minuman alkohol dalam masyarakat Sabah sangat tinggi sehingga bermula dari peringkat umur muda.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Mengatasi Masalah Penggunaan Alkohol (IGAM) Datuk Dr Jaswant Singh berkata, perkara itu serius dan satu mekanisme perlu diwujudkan untuk mengawal keadaan itu.

Katanya, beliau turut mengadakan satu program selama sejam sekali seminggu di kediamannya di Taman Hiltop.

JASWANT.
JASWANT.

"Saya melihat ketagihan alkohol dalam kalangan masyarakat di sini sangat tinggi dan satu usaha oleh kerajaan harus diambil untuk mengawal keadaan itu sebelum ia lebih memudaratkan.

"Saya juga melihat jumlah golongan wanita kini turut semakin meningkat dalam pengambilan alkohol selain merokok," katanya ketika ditemui dalam Bengkel Menangani Kemudaratan Alkohol, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, program yang diadakan beliau pada setiap Selasa itu adalah percuma dihadiri 18 sehingga 20 orang untuk setiap sesi, mereka terdiri daripada golongan profesional dan juga pelajar.

Katanya, sebelum ini surat khabar pernah menyiarkan Sabah terletak di tempat ketiga di negara ini dalam kes penggunaan alkohol.

"Itu beberapa tahun dahulu, saya percaya kini Sabah dan Sarawak terletak di tempat pertama.

"Penggunaan alkohol kini telah menjadi sebahagian daripada budaya kita, ia boleh dilihat menerusi sebahagian perayaan yang ada, majlis perkahwinan, hari jadi, dan juga ketika kematian...hidangan alkohol itu mesti ada bagi meramaikan suasana majlis.

"Minum secara berhemah itu tidak menjadi masalah untuk ketika bersosial sahaja tetapi sekiranya sehingga menyebabkan ketagihan itu adalah satu perkara yang memudaratkan kesihatan dan juga sosial itu sendiri," katanya.

Jaswant yang juga Pakar Perunding Onkologi di KPJ Sabah menjelaskan satu kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah perlu dibentuk memandangkan setiap daerah di Sabah mempunyai hospital atau klinik.

JASWANT (tengah) ketika dalam bengkel itu.
JASWANT (tengah) ketika dalam bengkel itu.

Katanya, pihak jabatan boleh membantu menyebarkan maklumat mengenai bahaya ketagihan alkohol yang boleh menyebabkan pelbagai masalah kepada kesihatan dan sosial setempat.

"Selain memudaratkan kesihatan, alkohol boleh menyumbangkan kepada kes seperti dadah, seks rambang, seks sumbang mahram dan sebagainya yang meruntuhkan nilai akhlak moral masyarakat," katanya.

  • oleh
  • Advertisement