Anda di sini

Harap kerajaan PH tidak pilih kasih

Advertisement
ABDUL KARIM
ABDUL KARIM

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berharap kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak bersikap pilih kasih dalam penyediaan fasiliti sukan dan memastikan semua negeri dapat menikmati kemudahan sukan yang setara.

Menurutnya, atlet-atlet sukan di Sarawak dan Sabah telah lama berdepan kekangan untuk meningkatkan prestasi berbanding rakan-rakan mereka di Semenanjung Malaysia kerana ketiadaan kemudahan sukan yang baik seperti sekolah sukan lengkap dengan fasiliti terkini.

“Memang tidak dinafikan peluang untuk atlet-atlet Sarawak dan Sabah meningkatkan prestasi amat sukar kerana tiada kemudahan lengkap dibina di kedua-dua negeri terbabit.

“Sekolah sukan di Sabah hanya untuk dua atau tiga jenis sukan sahaja. Sarawak lagi parah. Sekolah Sukan SMK Tabuan Jaya hanya setaraf sekolah asrama tetapi dipanggil mereka sekolah sukan,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Beliau juga berharap pentadbiran baharu akan lebih telus terutamanya dalam memutuskan sesuatu keputusan besar yang melibatkan sukan negara.

“Memang kadang-kadang kedengaran ‘high handed decision’ dibuat oleh pegawai-pegawai atasan atau menteri tanpa mendengar pandangan persatuan-persatuan sukan atau negeri-negeri terlibat.

“Contohnya, dahulu pengguguran tiga sukan tetap (core) pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang diumumkan oleh menteri sukan dahulu tanpa usul periksa. Selepas bantahan negeri-negeri baharulah kementerian terbabit mengembalikan sukan tersebut,” katanya.

Jelasnya, pentadbiran baharu harus meneruskan agenda pembangunan sukan negara seperti yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Dengan perubahan yang mendadak dalam senario politik tanah air dan sekali gus perubahan besar dalam pentadbiran kementerian termasuk yang menjaga sukan tanah air, harapan saya adalah mutu dan pentadbiran sukan menjadi lebih baik dan seterusnya dapat mengangkat nama Malaysia ke persada lebih tinggi dalam dunia sukan,” kata Abdul Karim.

Sementara itu, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan menjelaskan bidang sukan tidak harus dipolitikkan sambil berharap pentabiran kerajaan baharu bersikap adil kepada semua negeri dalam aspek pembangunan sukan.

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan pusat memastikan pembangunan sukan setiap negeri di Malaysia diteruskan tanpa mengira fahaman politik,” katanya.

Advertisement