Anda di sini

Timbang lantikan temenggung, pemanca Iban di Mukah

Advertisement
 Francis (berdiri, enam kiri) bersama barisan tetamu jemputan pada Majlis Pra-Gawai Dayak peringkat Bahagian Mukah, baru-baru ini.
RAIKAN BERSAMA: Francis (berdiri, enam kiri) bersama barisan tetamu jemputan pada Majlis Pra-Gawai Dayak peringkat Bahagian Mukah, baru-baru ini.

SIBU: Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Mukah merayu kepada kerajaan tempatan supaya mempertimbangkan lantikan jawatan temenggung dan pemanca bagi kaum Iban di bahagian Mukah.

Pengerusinya Francis Atan berkata, meskipun kaum minoriti di bahagian itu, masyarakat Iban di situ mengalami pelbagai masalah ekoran ketiadaan ketua masyarakat untuk membawa serta menyelesaikan masalah kaum Iban di Mukah kepada pihak berkenaan.

“Jawatan penghulu sahaja tidak cukup kuat untuk kita di Mukah ini kerana ia berdasarkan skop kerjanya mengikut kawasan berbanding jawatan temenggung ataupun pemanca yang lebih menyeluruh merangkumi seluruh kawasan di bahagian Mukah.

“Di Mukah, masyarakat Iban turut menghadapi masalah seperti ketiadaan tapak jirat Dayak, Rumah SDNU Mukah dan sebagainya kerana tiada ‘individu’ layak menyuarakannya sebelum ini.

“Justeru kami di Mukah merayu kepada kerajaan untuk mempertimbangkan permintaan kami ini,” katanya berucap pada Majlis Pra Gawai Dayak peringkat Bahagian Mukah di Dewan Mesra Mukah, baru-baru ini.

Hadir sama ialah wakil kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Jay Keram, pembantu peribadi kepada ADUN Balingian Che Ghazali Arbi, Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau, Penghulu Iju Tutong, Penghulu Uking Kudang, Penghulu Empaling Beji serta lebih 500 orang hadirin.

Francis memberitahu, jirat Dayak yang dirancangkan sebelum ini adalah kawasan tanah bukit di sebelah kiri atau kanan Jalan Mukah-Selangau sehingga ke kawasan Bukit Ambun hingga ke Ulu Kenyana.

“Kemudahan tersebut sangat penting bagi kegunaan ramai apabila berlaku kematian,” jelasnya lagi.

Pembinaan Rumah SDNU Mukah jelasnya, amat penting bagi membolehkan komuniti tersebut melaksanakan program-program yang berkaitan dengan warisan dan tradisional.

Bercakap mengenai keahlian automatik masyarakat Dayak ke SDNU Mukah Francis memberitahu, komuniti tersebut tidak diperlukan untuk mengisi borang pendaftaran mahupun membayar yuran.

“Semua penduduk kaum Dayak di sini sememangnya automatik menjadi ahli SDNU Mukah,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada masyarakat Dayak di Mukah supaya sentiasa mengutamakan perpaduan sesama sendiri begitu juga dengan kaum yang lain.

Menurutnya, semangat ‘Segulai Sejalai’ akan membantu masyarakat Iban di Mukah menyelesaikan masalah seperti kematian atau kenduri perkahwinan secara gotong-royong ataupun bekerjasama bagi meringankan beban yang dihadapi.

Pada majlis tersebut, SDNU Mukah turut menyampaikan insentif kepada anak-anak ahlinya yang berjaya memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam pada tahun lepas.

SDNU Mukah turut mendapat peruntukan RM3,000 daripada ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, manakala ADUN Tellian Yussibnosh Balo akan menghulurkan sumbangan kepada mereka dalam masa terdekat ini.

Kedua-dua berita itu diumumkan Che Ghazali dan Jay yang masing-masing mewakili Yakub dan Yussibnosh pada majlis tersebut.

  • oleh
  • Advertisement