Anda di sini

Rasuah: Pegawai polis trafik wanita direman lima hari

Advertisement
 Pegawai polis trafik wanita berpangkat Inspektor ditahan reman oleh SPRM selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes meminta rasuah berjumlah RM2,000 daripada seorang lelaki bagi melepaskan kenderaannya daripada disita atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh di Kompleks Mahkamah Klang. — Gambar Bernama
DIREMAN: Pegawai polis trafik wanita berpangkat Inspektor ditahan reman oleh SPRM selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes meminta rasuah berjumlah RM2,000 daripada seorang lelaki bagi melepaskan kenderaannya daripada disita atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh di Kompleks Mahkamah Klang. — Gambar Bernama

KLANG: Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas seorang pegawai polis trafik wanita berpangkat inspektor selama lima hari bermula semalam, bagi membantu siasatan kes meminta rasuah berjumlah RM2,000, tiga hari lepas.

Perintah tahanan reman ke atas wanita berumur 28 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Nur Amalina Mat Zaidan selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasatnya di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Suspek yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan ditahan SPRM kira-kira jam 4.05 petang kelmarin di pejabat balai trafik daerah berkenaan.

Menurut sumber SPRM, pegawai polis trafik itu ditahan susulan laporan oleh seorang lelaki berumur 35 tahun yang mendakwa wanita terbabit meminta wang balasan bagi melepaskan kenderaannya jenis ‘Sports Utility Vehicle’ daripada disita atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh.

Lelaki itu mendakwa pegawai polis trafik wanita itu meminta wang berkenaan daripadanya kira-kira jam 11.45 malam, dua hari lepas, sebelum dia membuat laporan kepada SPRM kelmarin. — Bernama

Advertisement