Anda di sini

Pencarian berakhir pilu

Advertisement
 Pasukan operasi berjaya mengangkat kereta mangsa yang kemudian diletakkan di atas jeti untuk memudahkan anggota penyelamat mengeluarkan mayat mangsa.
OPERASI: Pasukan operasi berjaya mengangkat kereta mangsa yang kemudian diletakkan di atas jeti untuk memudahkan anggota penyelamat mengeluarkan mayat mangsa.

KOTA SAMARAHAN: Suasana pilu menyelubungi pangkalan feri Kota Samarahan di sini selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menarik keluar pikap milik Bernabas Lias Jalal, 77, dari dasar Batang Samarahan, petang semalam.

Tambah menyedihkan apabila pasukan SAR mengesahkan mayat seorang lelaki di dalam pikap tersebut adalah Bernabas yang terperangkap selepas dipercayai cuba menyelamatkan pikapnya itu sebelum turut terhumban ke dalam sungai pada Isnin lalu.

Difahamkan, operasi menarik keluar pikap tersebut bermula jam 12.30 tengah hari menggunakan sebuah lori kren yang diletakkan di atas feri.

“Kerja-kerja menyelamat dimulakan selepas air sungai mulai surut dan keadaan arus tidak deras dengan dibantu Jabatan Kerja Raya (JKR) menggunakan lori kren yang diletakkan di atas feri untuk mengangkat kenderaan yang tenggelam.

“Setelah berjaya diangkat, kenderaan tersebut kemudian dibawa ke jeti dan mayat mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 3.11 petang oleh anggota operasi,” kata Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii dalam kenyataannya, semalam.

Beliau memberitahu, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Tiong, pikap tersebut dikenal pasti kedudukannya 50 meter dari jeti dan di kedalaman kira-kira 18 meter.

“Pikap tersebut berjaya dikesan semalam (Rabu) dan kerja-kerja mengikat tali pada pikap tersebut dilakukan pada jam 12 tengah malam tadi (semalam) sehingga jam 2.40 pagi oleh pasukan Scuba JBPM dengan dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Marin,” katanya.

Pada hari kejadian, mangsa yang berasal dari Tabuan Dayak di sini dikatakan menggunakan perkhidmatan feri tersebut dipercayai untuk ke kebunnya di Semawang, Asajaya sekitar jam 7.10 pagi.

Bagaimanapun, mangsa yang berada di luar keretanya dikatakan berlari masuk ke dalam keretanya yang dikatakan tiba-tiba bergerak dan cuba memberhentikannya, namun tidak berjaya lalu terhumban ke dalam sungai.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu yang mengesahkan kejadian tersebut memberitahu, pihaknya mengesyaki brek tangan kenderaan tersebut tidak ditarik.

Operasi SAR yang dimulakan selepas laporan berhubung kejadian dibuat disertai JBPM, APM, JKR dan PDRM.

  • oleh
  • Advertisement