Anda di sini

Pencalonan Anugerah Golf Malaysia 2018 pengiktirafan pengurusan DGCC

 Edwin (tengah) bersama Roslan dan pengurus kegiatan kelab Zekaria Husaini pada Majlis Anugerah Golf Malaysia 2018 baru-baru ini.
TAHNIAH: Edwin (tengah) bersama Roslan dan pengurus kegiatan kelab Zekaria Husaini pada Majlis Anugerah Golf Malaysia 2018 baru-baru ini.

KUCHING: Damai Golf & Country Club (DGCC) baru-baru ini dicalonkan sebagai salah satu kelab golf yang terbaik di negara ini dari segi penambahbaikan kemudahan dan perkhidmatan yang diberikan kepada ahli serta pemain.

Ini diumumkan oleh Pengurus Besar DGCC Roslan Mohd Salleh yang berkata, pencalonan dalam Anugerah Golf Malaysia 2018 merupakan satu pengiktirafan bagi pihak pengurusan kelab yang telah bekerja keras dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti untuk kesemua pemain terutama ahli-ahlinya.

“Kami menghadapi persaingan sengit dalam kategori yang telah disertai kerana DGCC adalah satu-satunya kelab dari Sarawak yang telah dicalonkan sebagai salah satu daripada 200 kelab yang terdapat di negara ini,” katanya.

Menurutnya, pemenang kategori itu ialah Kelab Golf & Country Club Sultan Abdul Aziz Shah, manakala pesaing lain yang mengambil bahagian ialah Kelab Golf & Island Amverton Cove, Awana Genting Highlands Golf & Country Resort, Gunung Raya Golf Resort, Kelab Impian Golf, IOI Palm Villa Golf & Country Resort, Kelab Golf Pulau Pinang dan Kelab Golf Seri Selangor.

“Kami ingin bekerja lebih keras lagi untuk menarik lebih banyak acara golf antarabangsa yang bakal diadakan di DGCC kerana usaha berterusan ini akan turut mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan popular di rantau ini.

“Dengan mengadakan lebih banyak pertandingan golf antarabangsa, kesemua kemudahan yang sedia ada akan semestinya ditambah baik dan mutu perkhidmatan kami kepada para pelanggan akan turut dipertingkatkan,” katanya.

Roslan turut merakamkan penghargaan kepada anggota Lembaga Pengarah SEDC dan DGCC atas sokongan berterusan mereka terhadap semua rancangan transformasi DGCC yang telah dilaksanakan secara berperingkat sejak 2016.

Anugerah Golf Malaysia dianjurkan oleh ParGolf dengan kerjasama Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan ia adalah satu-satunya anugerah industri yang mengiktiraf individu yang layak, kelab golf dan syarikat untuk pencapaian dan sumbangan mereka pada tahun sebelumnya.

Terdapat 14 kategori dan pemenang dipilih berdasarkan pengundian oleh panel yang terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa MGA, kakitangan editorial ParGolf dan personaliti industri golf yang terpilih.

Majlis penyampaian anugerah diadakan pada 11 Mei lalu di Acapella Suite Hotel di Kuala Lumpur dan turut dihadiri oleh Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Edwin Abit.

Pada masa ini, DGCC akan menjadi tuan rumah Sukan Amatur Pasukan Antarabangsa Sarawak 2018 (SWAG) yang akan berlangsung pada Julai, Kejohanan Golf Amatur Dunia Perodua 2018 pada Ogos dan Kejohanan Golf Antarabangsa PGM-MNRB 2018 pada September.

Di samping itu, banyak pemain golf tempatan dan dari negeri-negeri lain juga akan bermain di DGCC untuk Kejohanan Golf Amal Grand 2018 yang akan diadakan buat kali pertama di kelab selepas bulan puasa, Piala Pengerusi SEDC 2018, Arnold Palmer Memorial Classic 2018, Pertandingan Golf Inter-Team DGCC 2018, Kejohanan Golf Inter-Club Sarawak 2018, Piala SGA Sabah-Sarawak 2018 dan Kejohanan Golf Masters Damai 2018.