Anda di sini

Pasangan suami isteri ditahan jual dadah menerusi Internet

Advertisement

SHAH ALAM: Kegiatan sepasang suami isteri yang menggunakan laman sosial dipercayai untuk menjual dan mengedar dadah, akhirnya terbongkar apabila mereka diberkas dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Setia Alam di sini, Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor ACP Amarjit Singh berkata kedua-dua suspek berusia 36 dan 37 tahun ditahan oleh sepasukan polis dari jabatan itu kira-kira jam 5.30 petang.

“Modus operandi dua suspek ini ialah mempromosikan dadah menerusi internet termasuk laman Facebook. Siasatan turut menunjukkan penjualan dadah itu dipergiat menjelang bulan Ramadan apabila mereka menawarkan tawaran harga istimewa kepada pembeli.

“Pelanggan akan diberikan nombor akaun bank untuk tujuan pembelian dadah, sebelum suspek menghantar dadah tersebut menerusi perkhidmatan pos dan kurier,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.

Beliau berkata susulan penahanan kedua-dua suspek itu, polis turut merampas dua ketulan mampat dan ceraian daun kering ganja seberat 300 gram, ‘slow cooker’ berisi cecair dipercayai ganja seberat 2.3 kilogram, helaian pelekat bertulis ‘The Real Cannabis’ serta pelbagai peralatan untuk memproses dadah tersebut.

Menurut Amarjit lagi, kesemua nilai rampasan dadah itu dianggarkan berjumlah RM45,520.

“Polis turut menyita rumah suspek bernilai RM38,000 yang dipercayai digunakan sebagai premis memproses dan menjual dadah tersebut sejak dua tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata pasangan suami isteri itu kini direman sehingga 22 Mei depan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Mengulas lanjut, Amarjit berkata dalam tempoh Januari hingga April tahun ini, pihaknya telah memberkas seramai 6,523 orang yang didapati terlibat dalam pelbagai kes berkaitan dadah di seluruh Selangor.

“Bagi tempoh yang sama tahun lepas kita menahan 6,172 orang dan tahun ini kita lihat ada peningkatan seramai 351 orang.

“…dan sepanjang tempoh empat bulan tahun ini juga kita telah menahan 22 pelajar di bawah umur 18 tahun dan 75 penuntut institusi awam serta swasta atas pelbagai kesalahan memiliki dadah,” katanya. — Bernama

Advertisement