
TAWAU: Pembangunan infrarakyat termasuk jalan raya di Merotai hingga Kalabakan antara draf awal perancangan yang mahu dilaksanakan Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Abdul Muis Picho di negeri ini.
Beliau berkata isu jalan diberikan tumpuan utama kerana ia melibatkan kepentingan rakyat dan dalam kata lain, dapat menyentuh nadi rakyat.
“Saya akan masuk pejabat Isnin depan dan saya belum bermesyuarat lagi, (sudah pasti) banyak perkara yang akan dibincangkan kelak,” katanya.
Abdul Muis berkata, kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merancang untuk membangun serta menyediakan lebih banyak infrastruktur untuk rakyat supaya pembangunan di Sabah akan membawa kesejahteraan berterusan kepada penduduknya.
"Misalnya masalah jalan raya rosak di Merotai hingga Kalabakan ini sudah bertahun dan masyarakat sangat berharap perkara ini dapat diselesaikan," katanya.-Bernama.