Anda di sini

Mayat pekerja kapal warga India ditemui

 Pasukan BBP Song membawa mayat mangsa menaiki bot sebelum dihantar ke Hospital Kapit.
DIJUMPAI: Pasukan BBP Song membawa mayat mangsa menaiki bot sebelum dihantar ke Hospital Kapit.

SIBU: Seorang pekerja kapal warga negara India yang dikhuatiri lemas setelah terjatuh ke dalam sungai di kapal Kem Arang Baru, Nanga Tulik, Batang Rajang, Kapit Selasa lalu telah dijumpai semalam.

Ketua Balai Bomba Song PpgB Federick Aok ketika dihubungi petang semalam berkata, mayat mangsa yang hanya dikenali sebagai Sunny, 21, dijumpai orang awam hanyut ke hilir pekan Song di perairan Batang Rajang sekitar jam 10.49 pagi.

Katanya, pihaknya yang dimaklumkan kemudian mengerahkan satu pasukan ke lokasi penemuan untuk tindakan lanjut.

“Pihak kami yang menerima panggilan daripada orang awam mengenai mayat itu menggunakan bot untuk pergi ke lokasi penemuan berhampiran SK Temalat iaitu enam hingga lapan kilometer ke hilir pekan Song pada 11.34 pagi,” katanya.

Katanya, mayat itu diserahkan BBP Kapit kepada pihak polis Kapit sebelum dihantar ke Hospital Kapit.

Dalam kejadian pagi Selasa lalu, mangsa terjatuh ke sungai ketika melepaskan tali tongkang daripada ikatan dekat Dermaga Nanga Tulik.

Usaha mencari dan menyelamat diteruskan oleh pasukan BBP Kapit sehingga mayat mangsa ditemui orang awam di hilir pekan Song pagi semalam.