Anda di sini

Masjid Darul Istiqamah perlu dana wakaf RM2 juta

Advertisement
 Gadaffi (tiga kiri) menyampaikan Sijil Pengurusan Wakaf kepada Naeemmuddin sambil disaksikan yang lain.
SAHAM AKHIRAT: Gadaffi (tiga kiri) menyampaikan Sijil Pengurusan Wakaf kepada Naeemmuddin sambil disaksikan yang lain.

MIRI: Jawatankuasa Masjid Darul Istiqamah Kampung Luak di sini berharap dapat mengumpul dana wakaf berjumlah RM2 juta untuk membiayai projek pembinaan bangunan tambahan dan membeli beberapa kemudahan infrastruktur untuk masjid berkenaan.

Sehubungan itu, Shaikh Naeemmuddin Shaikh Aminullah selaku pengerusi jawatankuasa pembangunan masjid berharap orang ramai sama-sama dapat membantu dengan menghulurkan sumbangan kepada dana wakaf berkenaan.

“Apabila dana telah mencukupi dan semua dokumentasi serta beberapa proses yang lain telah lengkap, kita akan memulakan projek pembinaan bangunan tambahan ini yang terletak hanya bersebelahan masjid sedia ada.

“Projek itu nanti akan menempatkan ruang letak kenderaan, pusat pengajian al-Quran, pusat pengajian Islam, pusat arkib untuk menempatkan jurnal keagamaan lama dan sejarah serta kitab suci al-Quran, selain ruang rehat untuk warga tua dan kakitangan masjid bagi para panitia dan pegawai masjid,” jelasnya.

Naeemmuddin memberitahu demikian kepada Utusan Borneo ketika ditemui selepas menerima Sijil Pengurusan Wakaf daripada pegawai Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Muammar Gadaffi Abdul Hadi pada majlis ringkas di masjid berkenaan baru-baru ini.

Pada majlis yang sama, Gadaffi turut memberikan sedikit penerangan tentang maksud wakaf dan kebaikannya.

Katanya, mereka yang menyumbang untuk tujuan wakaf akan mendapat faedah di akhirat sebagai ganjaran yang kekal dan wakaf ditakrifkan sebagai dedikasi kekal harta oleh seseorang, kumpulan atau badan melalui kehendak, sumbangan atau arahan yang dimaksudkan untuk kepentingan agama dan amal di bawah hukum Islam.

Sehubungan itu katanya, mereka yang ingin menderma boleh terus menyumbang kepada Jawatankuasa Pembangunan Masjid Darul Istiqamah Kampung Luak Fasa 2 atau menghubungi Naeemmuddin melalui talian 012-6361305.

Advertisement