Anda di sini

Lelaki terlibat kes senjata api dibicara lanjut 25 Jun

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret Marudi menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan lanjut kes seorang lelaki yang dituduh melepaskan tembakan dengan cuai hingga menyebabkan kematian seorang lelaki lain dan memiliki selaras senapang patah buatan sendiri secara haram.

Sementara itu, tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan lanjut RM7,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Penetapan tarikh itu dibuat Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor yang memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut sementara menunggu beberapa laporan berkaitan barang kes siap.

Gani Mulau, 57, dari Rumah Peter, Sungai Bong, Teru Tinjar Baram dituduh dengan cuai melepaskan tembakan menggunakan selaras senapang patah hingga menyebabkan kematian seorang warga emas, Dunya Adam, 76.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3 petang, 6 April lalu di kawasan ladang kelapa sawit Jalan Simpang Bain, Long Lama, Marudi di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Manakala dalam tuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didakwa memiliki selaras senapang patah buatan sendiri tanpa mempunyai lesen sah yang dikeluarkan kepadanya mengikut Seksyen 4 Akta Senjata 1960.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada  masa dan di tempat yang sama.

Advertisement