Anda di sini

Lelaki berdepan dua tuduhan miliki dadah berbahaya

MIRI: Mahkamah Majistret Marudi menetapkan 25 Jun depan untuk pengurusan kes seorang lelaki yang menghadapi dua tuduhan memiliki dadah berbahaya.

Sementara itu, tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut sementara menunggu tarikh tersebut.

Raymond Wan, 49, dari Jalan Piasau 3D Fasa 3 di sini, didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun serta hukuman sebat tidak kurang 10 kali.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh dituduh memiliki memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 34.15 gram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2 petang, 11 April lalu di rumah tidak bernombor di sebuah kem pembalakan di Kilo Ten, Long Lama, Marudi.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis sama seberat 5.30 gram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 2 petang, 11 April lalu di hadapan  rumah tidak bernombor di sebuah kem pembalakan di Kilo Ten, Long Lama, Marudi.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta sebatan (wajib) tidak kurang dari tiga kali dan tidak melebihi sembilan kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.