Anda di sini

Lebuh Raya Pan Borneo perlu diteruskan demi kebaikan rakyat, kata Fadillah

 Fadillah melawat gerai jualan sambil berbual mesra dengan peniaga di Bazar Ramadan Sukma Ria di Kuching, semalam.
PELBAGAI PILIHAN: Fadillah melawat gerai jualan sambil berbual mesra dengan peniaga di Bazar Ramadan Sukma Ria di Kuching, semalam.

KUCHING: Projek-projek seperti Lebuh Raya Pan Borneo yang diumumkan oleh kerajaan terdahulu perlu diteruskan demi kebaikan rakyat negeri ini.

Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, namun demikian, semua itu bergantung kepada kerajaan baharu untuk meneruskan projek tersebut.

“Kerajaan baharu yang diterajui Pakatan Harapan (PH) harus meneruskan apa jua projek yang diilaksanakan kerajaan terdahulu.

“Ini kerana saya percaya ia adalah untuk kebaikan rakyat namun semuanya terpulang kepada mereka (PH) sama ada mahu meneruskan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Bazar Ramadan Sukma Ria anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di sini, semalam.

Fadillah berharap kerajaan sekarang dapat membantu kerajaan negeri dalam memastikan semua projek infrastruktur dan projek pembangunan lain yang telah dirancang akan diteruskan.

Mengambil contoh katanya, projek pembinaan Jambatan Batang Lupar yang akan memberi banyak manfaat kepada rakyat terutama di kawasan pesisir pantai harus diteruskan dan dilaksanakan.

“Ia bukan sahaja membuka peluang untuk meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat, bahkan mempercepat pembangunan di kawasan sekitarnya,” kata Fadillah.

Terdahulu, sebanyak 98 gerai jualan disediakan di bazar Ramadan itu bagi membolehkan peniaga menjual pelbagai jenis makanan, kuih-muih dan minuman untuk kemudahan orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan.