Anda di sini

Kerajaan Sarawak ulangi pendirian kerjasama dengan PH

Advertisement
 Awang Tengah (tiga kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima semalam. Turut kelihatan Denny (dua kiri).
TERIMALAH: Awang Tengah (tiga kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima semalam. Turut kelihatan Denny (dua kiri).

LAWAS: Sarawak mengulangi pendirian untuk terus menjalinkan kerjasama dengan kerajaan pusat yang kini diterajui Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Pengerusi Lembaga Amanah Khairat Islam Lawas (LAKHIL) berkata, meskipun Sarawak bukan sebahagian PH, banyak tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan secara bersama.

“Kita harus terima negara kita kini dipimpin PH dan ini adalah keputusan yang dibuat rakyat.

“Walaupun Sarawak kini kerajaan pembangkang, kita akan terus menjalin kerjasama dengan kerajaan pusat yang diterajui PH,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada para pegawai masjid dan surau di daerah ini semalam.

Seramai 67 penerima terdiri daripada masjid dan surau di daerah ini menerima sumbangan pada majlis itu.

Turut sama ialah Residen Bahagian Limbang Ir Denny Ahmad Fauzi, Ketua Tabung Baitulmal Limbang Junidi Lamat dan tetamu lain.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak berkata lagi, Sarawak akan meneruskan corak kepimpinan yang ada sekarang sebagai kerajaan pembangkang yang bermaruah.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg akan meneruskan usaha untuk menumpukan kepentingan rakyat Sarawak untuk menuntut hak-hak negeri ini.

“Kerajaan persekutuan juga mempunyai tanggungjawab untuk membantu rakyat termasuk di Sarawak berdasarkan perlembagaan,” jelas beliau.

Awang Tengah menambah, kerajaan negeri juga akan memantau janji-janji yang terkandung dalam manifesto PH pada PRU14 baru-baru ini.

Sementara itu, beliau mahu umat Islam menyuburkan amalan bersedekah bagi membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan bantuan.

Kata beliau, mereka yang berkemampuan perlu menyemai amalan bersedekah yang merupakan antara tuntutan agama.

“Kita mahu umat Islam khususnya sepanjang bulan Ramadan ini memperbanyakkan amalan sedekah kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan.

“Rebutlah pahala berlipat ganda pada bulan yang mulia ini untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya lagi.

  • oleh
  • Advertisement