Anda di sini

Kempen ‘Meriah Bersama’ Ramadan & Raya 2018 Astro

 Barisan selebriti bersama Khairul Anwar, Raqim Ahmad, Ustaz Fuad Mat Ali (Pengurus Saluran Astro Oasis), Nazri Noran (Pengurus Rangkaian Kandungan Melayu Astro Radio), Shahrin Zukir (Penolong Naib Presiden Kumpulan Pemasaran Astro) dan Nur Nazihah Mohd Dalhar (Pengurus Jenama Gempak).
MERIAH BERSAMA: Barisan selebriti bersama Khairul Anwar, Raqim Ahmad, Ustaz Fuad Mat Ali (Pengurus Saluran Astro Oasis), Nazri Noran (Pengurus Rangkaian Kandungan Melayu Astro Radio), Shahrin Zukir (Penolong Naib Presiden Kumpulan Pemasaran Astro) dan Nur Nazihah Mohd Dalhar (Pengurus Jenama Gempak).

KUALA LUMPUR: Stesen televisyen Astro menyajikan pelbagai pengisian menarik dan penjiwaan bulan Ramadan ini menerusi seleksi program hebat di kesemua platformnya termasuklah di ruangan digital, televisyen, radio dan menerusi penganjuran aktiviti lapangan (‘on ground’).

Istimewanya Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri kali ini, Astro buat julung kalinya mengangkat tema ‘Meriah Bersama’ bagi meraikan setiap rakyat Malaysia yang sentiasa setia menyokong dan menjadi tulang belakang dalam kejayaan yang diraih sejak lebih dari dua dekad lalu.

“Kami merasakan bahawa tema ‘Meriah Bersama’ yang dipilih ini bertepatan dengan usaha kami untuk menghargai pelanggan yang selama ini setia bersama kami,” kata Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh pada sidang media baru-baru ini.

Beliau juga menjelaskan tema tersebut memberi maksud yang sangat luas dan ia menggambarkan kegembiraan yang dikongsi bersama setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang masing-masing.

Terdapat 38 program yang berupa program keagamaan, telefilem, dokumentari, drama bersiri, majalah, sketsa, animasi dan rancangan khas seperti variasi, travelog serta bual bicara, saluran Islamik; Astro Oasis sekali lagi bertindak sebagai saluran utama yang menghiasi seleksi Ramadan Astro.

KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU

Pada Ramadan kali ini Astro juga memperkenalkan satu slot megadrama ‘Klik! Pengantin Musim Salju’ bagi memenuhi permintaan penonton.

“Melihat sambutan penonton yang menonton siaran drama sebelum waktu berbuka puasa, kali ini pihak Astro memperkenalkan satu slot drama bagi menemani penonton sementara menunggu waktu berbuka,” jelas Raqim Ahmad selaku Ketua Saluran Melayu Astro.

Dalam usaha menghargai pelanggannya, Astro buat julung kalinya membuka sebuah saluran khas ‘Ramadan HD’ (saluran 122) yang boleh dinikmati secara percuma kepada semua pelanggan Astro yang mempunyai perkhidmatan berdefinisi tinggi (HD) mulai 12 Mei dan berlanjutan untuk ‘Raya HD’.

Pastinya sambutan Ramadan bersama Astro pada tahun ini akan lebih bermakna dengan penawaran kandungan Astro yang amat komprehensif dengan program-program menarik yang disediakan. — Bernama