Anda di sini

Imbangan Pembayaran Malaysia catat lebihan RM15 bilion S1 2018

Advertisement

KUALA LUMPUR: Imbangan Pembayaran Malaysia merekodkan lebihan lebih tinggi bagi akaun semasa sebanyak RM15.0 bilion pada suku pertama 2018 berbanding RM13.9 bilion pada suku keempat 2017, menurut Jabatan Perangkaan semalam.

Dalam kenyataan semalam, jabatan itu berkata prestasi lebih baik tersebut didorong oleh akaun barangan. Pada suku ini eksport barangan bernilai RM237.6 bilion, meningkat 5.8 peratus berdasarkan tahun ke tahun.

Produk utama yang menyumbang kepada peningkatan ini ialah produk elektrik dan elektronik yang mempunyai peratus pembahagian yang tertinggi iaitu 37.1 peratus, meningkat 1.8 peratus kepada RM88.1 bilion diikuti oleh petroleum mentah yang naik 8.0 peratus kepada RM8.5 bilion.

Import barangan bagi suku pertama 2018 mencatatkan penurunan 0.8 peratus kepada RM204.3 bilion berdasarkan tahun ke tahun berbanding pertumbuhan sebanyak 14.4 peratus pada suku yang lepas.

Import barangan penggunaan mencatatkan peningkatan manakala barangan perantaraan dan barangan modal mencatatkan penurunan.

Jabatan Perangkaan itu berkata akaun kewangan pula merekodkan aliran masuk bersih RM15.2 bilion berbanding aliran masuk bersih RM6.0 bilion pada suku keempat 2017.

Bagi akaun semasa, lebihan lebih tinggi itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan pada akaun barangan RM35.7 bilion (suku keempat 2017: lebihan RM34.1 bilion) dan defisit lebih rendah pada akaun perkhidmatan RM5.8 bilion (S4 2017: defisit RM7.0 bilion).

Jabatan Perangkaan berkata, akaun kewangan pula dipacu oleh aliran masuk bersih lebih tinggi pada pelaburan langsung RM10.7 bilion (S4 2017: aliran masuk bersih RM5.3 bilion) dan pelaburan lain RM6.4 bilion (S4 2017: aliran keluar bersih RM9.5 bilion).

Pelaburan Langsung di Luar Negara (DIA) mencatatkan perubahan arah kepada aliran keluar bersih RM1.3 bilion pada suku pertama tahun ini berbanding aliran masuk bersih RM1.9 bilion suku lepas.

Sementara itu, Pelaburan  Langsing Asing (FDI) di Malaysia merekodkan aliran masuk bersih lebih tinggi RM12.0 bilion (S4 2017: aliran masuk bersih RM3.4 bilion). — Bernama

Advertisement