Peniaga bazar Ramadan diarah letak tanda harga pada jualan
TUARAN: Semua peniaga di bazar Ramadan diarahkan untuk meletakkan tanda harga pada setiap unit barangan yang dipamerkan di meja jualan masing-masing.
Jurucakap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Tuaran berkata arahan terbabit dikeluarkan semasa pihaknya melakukan pemeriksaan di bazar Ramadan Beringgis dan Pekan Tuaran.

Katanya dalam pemeriksaan ini pihaknya turut mengagihkan notis peringatan penandaan harga oleh peniaga mengikut perintah 3 (1) perintah kawalan harga (Penandaan harga oleh peniaga runcit) 1993.
"Kegagalan mematuhi perintah ini adalah menjadi kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
"Peniaga juga boleh dikenakan kompaun tidak lebih RM50,000 bagi kesalahan yang boleh dikompaun," katanya.
Tambahnya pihaknya akan melakukan pemeriksaan setiap hari terhadap gerai jualan di Kota Belud dan Ranau bermula Khamis.
Sementara itu kira-kira 78 gerai menjual makanan dan minuman turut diperiksa sepasukan anggota KPDNKK di bazar Ramadan Asia City.