Anda di sini

Baiki segera lampu limpah Stadium Negeri

Advertisement
AWANG MAHYAN
AWANG MAHYAN

KUCHING: Pengurus skuad Sarawak Awang Mahyan Awang Mohamed menggesa pihak Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) menyelesaikan masalah lampu limpah di Stadium Negeri, Petra Jaya dengan segera bagi membolehkan ia digunakan semula untuk perlawanan bola sepak pada waktu malam.

Tegasnya, ekoran masalah tersebut, venue perlawanan Liga Premier antara Sarawak dan Johor Darul Ta’zim II dijadual berlangsung pada 22 Mei ini di Stadium Negeri, terpaksa dipindah ke stadium lawan iaitu Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

“Memandangkan perlawanan Liga Premier diteruskan pada bulan Ramadan, kita tidak mempunyai pilihan kecuali bermain di sebelah malam.

“Masalahnya sekarang, kita tidak dapat menggunakan Stadium Negeri kerana lampu limpahnya belum diperbaiki.

“Kita ada pilihan untuk bermain di Stadium Sarawak, namun keadaan padang di stadium tersebut juga semakin rosak dan tidak sesuai kerana ia turut digunakan untuk menganjur pelbagai acara sukan termasuk bola sepak,” katanya.

Justeru, Sarawak jelas Mahyan tidak mempunyai pilihan lain melainkan terpaksa bermain semula di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Sarawak juga akan bermain di Stadium UiTM Shah Alam buat kali kedua menentang UiTM FC pada 1 Jun depan jika masalah lampu limpah di Stadium Negeri masih tidak diselesaikan.

“Ia satu kerugian kepada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) kerana kita terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk bermain di tempat lawan buat kali kedua.

“Sehubungan itu, saya harap pihak PSS memandang serius masalah ini dan segera memperbaiki lampu limpah di stadium bagi membolehkan kita kembali bermain pada sebelah malam,” katanya lagi.

Tambahnya, dalam misi Sarawak untuk menjadi kuasa sukan, penyediaan fasiliti yang lengkap dan berkualiti haruslah diberi keutamaan.

  • oleh
  • Advertisement