Anda di sini

50 pejuang antara 62 syahid di Gaza: Hamas

Advertisement
 Penduduk Palestin mengusung jenazah Nasser Ghorab, 51, semasa upacara pengebumiannya di kem pelarian al-Nusirat di tengah semenanjung Gaza kelmarin selepas beliau terbunuh sehari sebelumnya dalam pertempuran dengan tentera Israel di sempadan Gaza. — Gambar AFP
SYAHID: Penduduk Palestin mengusung jenazah Nasser Ghorab, 51, semasa upacara pengebumiannya di kem pelarian al-Nusirat di tengah semenanjung Gaza kelmarin selepas beliau terbunuh sehari sebelumnya dalam pertempuran dengan tentera Israel di sempadan Gaza. — Gambar AFP

KOTA GAZA: Seorang anggota kanan kerajaan Hamas di Gaza berkata semua kecuali 12 daripada 62 penduduk Palestin yang maut dalam serangan Israel sewaktu protes di sempadan Gaza pada minggu ini adalah anggota kumpulan Islamis itu.

Kenyataan yang dibuat kelmarin digunakan oleh Israel dalam usaha untuk menangkis kritikan global yang keras berhubung kematian tersebut dan membuktikan ia didalangi dan diketuai pergerakan Islamis, Hamas.

Tentera Israel membunuh 60 penduduk Palestin pada Isnin lepas ketika puluhan ribu penduduk Palestin berhimpun berhampiran sempadan, manakala kumpulan lebih kecil mendekati pagar dan cuba menembusinya.

Selama lebih enam minggu, penunjuk perasaan menuntut hak untuk kembali ke rumah mereka yang dirampas oleh Israel dalam perang 1948 yang berkisar sekitar penubuhan negara Yahudi itu.

Dua lagi penduduk Palestin maut Selasa lepas ketika penduduk Palestin memperingati Nakba, atau “mala-petaka”, yang mengingati lebih 700,000 penduduk Palestin yang lari atau diusir dalam peperangan tersebut.

Pertumpahan darah itu te-rus menarik perhatian dunia ketika keganasan reda lewat kelmarin, sehari sebelum bulan puasa Ramadan yang suci.

Bagaimanapun serangan rentas sempadan dari semasa ke semasa menjadi peringatan kepada keadaan tidak stabil yang belum dapat diselesai-kan.

Pope Francis berkata beliau “sangat bimbang” mengenai keganasan yang semakin meruncing di Timur Tengah, dan jemaah menteri luar Arab mengadakan mesyuarat “luar biasa” semalam untuk membincangkan situasi itu.  

Orang kuat Hamas, Yahya Sinwar, memberi amaran bahawa pergerakan itu dapat kembali kepada penentangan bersenjata.

Sementara itu Presiden Turki Recep Tayyip Erdo-gan menyelar “kesenyapan” antarabangsa berhubung pembunuhan di Gaza.

“Jika kesenyapan mengenai kezaliman Israel berterusan, dunia akan dengan cepat diheret ke dalam huru-hara di mana rompak samun berleluasa,” katanya.

Sejak protes sempadan dan pertelingkahan bermula pada 30 Mac lalu, 116 penduduk Palestin sudah maut dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Seorang askar Israel dilaporkan cedera dalam tempoh itu.

Protes pada Isnin lepas kebetulan diadakan pada waktu kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Israel dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmuqqadis, yang telah menimbulkan kemarahan penduduk Palestin yang menganggap sektor timur kota itu yang dirampas oleh Israel sebagai ibu kota negara mereka pada masa depan.

Hamas berkata ia menyo-kong mobilisasi penunjuk perasaan secara besar-besaran, bagaimanapun ia me-negaskan ia adalah satu inisiatif awam yang aman.

Tentera Israel menuduh Hamas menggunakan demonstrasi itu sebagai topeng untuk mendekati dan merosakkan pagar sempadan, termasuk meletakkan alat letupan dan menyerang askar, dan menegaskan tindakannya perlu untuk mempertahankan sempadan dan mencegah pencerobohan beramai-ramai.

Banyak seruan telah dibuat bagi siasatan bebas ke atas kematian yang berlaku, dan Britain, Jerman dan Switzerland adalah antara mereka yang menyokong tindakan sedemikian.

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau turut menuntut siasatan bebas kelmarin, dan berkata “ia amat penting bagi kita untuk mengesahkan fakta bagi apa yang sedang berlaku di Gaza”.

Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi berkata Mesir sedang berkomunikasi dengan kedua-dua pihak “supaya pertumpahan darah ini akan berhenti”.

Seorang anggota kanan Hamas berkata kebanyakan penduduk Palestin yang maut dalam serangan Israel sewaktu protes dan pertelingkahan di sempadan pada minggu ini adalah anggota kumpulan Islamis tersebut.

“Seramai 50 syahid adalah Hamas dan 12 lagi rakyat. Bagaimanakah Hamas dapat memungut hasil jika ia membayar harga yang begitu mahal?” kata Salah Bardawil.

Beliau tidak memberi maklumat lanjut tentang sama ada mereka adalah anggota sayap politik atau bersenjata dalam kumpulan itu, atau apa yang mereka buat pada waktu mereka terbunuh.

Kenyataan itu dialu-alukan oleh jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Jonathan Conricus, yang menyatakan Bardawil sudah “menyatakan perkara sebenar”.

“Percayalah kepada kata-katanya. Ini bukan protes aman,” katanya dalam Twitter.

Bagaimanapun Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov menolak “kenyataan kufur” jurucakap Israel itu yang membayangkan orang yang maut di Gaza adalah anggota militan.

“Saya tidak dapat bersetuju dengan hakikat bahawa puluhan orang awam yang aman, termasuk kanak-kanak dan bayi, yang maut dalam insiden ini adalah pengganas,” katanya.

Guatemala kelmarin me-rasmikan kedutaannya di Israel di Baitulmuqqadis, negara pertama untuk mengikut jejak langkah tindakan AS yang kontroversi.

Netanyahu, yang berucap di satu majlis sambutan bersama Presiden Guatemala, Jimmy Morales, berkata Israel telah merekodkan “angka yang sama” dengan jumlah yang disebut oleh Bardawil.

“Israel akan terus mempertahankan diri menggunakan semua kaedah yang perlu dan tidak membiarkan mereka yang menyeru untuk memus-nahkan kami mencerobohi sempadan kami dan meng-ancam masyarakat kami,” katanya.

Pegawai kanan Palestin, Saeb Erekat, menyelar Guatemala dan berkata kerajaannya telah “memilih untuk berdiri di sebelah sejarah yang salah”.

Status Baitulmuqqadis mungkin isu paling sensitif dalam konflik Israel-Palestin dan perpindahan kedutaan AS telah menim-bulkan kemarahan penduduk Palestin. — AFP

Advertisement