Anda di sini

SK Merintaman terima lawatan penanda aras

Advertisement
 ROMBONGAN SK Lok Yuk bergambar kenangan bersama Yusof (dua kiri) Abdul Azni (lima kiri) dan Elizabeth (lima kanan).
ROMBONGAN SK Lok Yuk bergambar kenangan bersama Yusof (dua kiri) Abdul Azni (lima kiri) dan Elizabeth (lima kanan).

SIPITANG: Sekolah Kebangsaan (SK) Merintaman, lima kilometer dari sini menerima lawatan daripada rombongan SK Lok Yuk Inanam, Kota Kinabalu.

Rombongan seramai 24 orang itu terdiri daripada guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan murid-murid (Sahabat PPDa) SK Lok Yuk Inanam serta Pegawai Khas PPDa Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu Abdul Azni Ebnu Hassan.

Penyelaras Unit Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) SK Merintaman Suziee Jamiel @Jamail berkata ia merupakan lawatan penanda aras dan perkongsian maklumat khasnya berkaitan dengan pengurusan pendidikan pencegahan dadah melalui Unit PPDa sekolah.

YUSOF (lima kiri) bersama rombongan guru-guru dari SK Lok Yuk mengabadikan gambar kenangan di hadapan Bilik Sumber PPDa SK Merintaman.
YUSOF (lima kiri) bersama rombongan guru-guru dari SK Lok Yuk mengabadikan gambar kenangan di hadapan Bilik Sumber PPDa SK Merintaman.

“Lawatan itu antara lain bertujuan menjalin kerjasama dan perkongsian pintar dalam usaha mendapatkan pendedahan dan sumber rujukan untuk mewujudkan Bilik Sumber PPDa di sekolah mereka,” katanya.

Beliau berkata, program lawatan itu bukan sahaja mewujudkan perkongsian ilmu dan maklumat akan tetapi secara tidak langsung menjalin kerjasama dan ikatan perhubungan baharu antara sekolah luar bandar dengan sekolah bandar yang mana SK Lok Yuk merupakan sekolah yang berada di Bandaraya Kota Kinabalu.

Suziee menjelaskan, lawatan itu turut bertujuan melihat kecemerlangan dalam pelbagai aspek untuk dijadikan contoh dan rujukan dalam usaha meningkatkan fungsi Bilik Sumber PPDa di sekolah.

Lawatan penanda aras itu tidak terhenti di situ sahaja, sebaliknya usaha diteruskan dengan mewujudkan ‘Group Whatsapp’ agar kerjasama antara dua sekolah (SK Merintaman dan SK Lok Yuk) dapat dikekalkan demi kebaikan bersama khasnya dalam kalangan guru, murid dan juga persekitaran di sekolah masing-masing.

Sempena lawatan itu, guru penyelaras PPDa bersama ahli sahabat PPDa SK Merintaman menyampaikan taklimat khas kepada rombongan pelawat tentang sejarah dan pencapaian sekolah dalam pelbagai bidang, penglibatan dalam program PPDa, melawat persekitaran sekolah dan sebagainya.

ELIZABTEH (tengah) menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Yusof sambil diperhatikan Abdul Azni (kanan).
ELIZABTEH (tengah) menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Yusof sambil diperhatikan Abdul Azni (kanan).

Dalam taklimat itu, pihak rombongan pelawat turut dimaklumkan tentang beberapa usaha dan pelbagai perancangan serta pencapaian Unit PPDa sekolah di peringkat daerah dan negeri Sabah.

Guru Besar SK Merintaman Yusof Haji Amit turut mengalu-alukan kedatangan rombongan SK Lok Yuk yang diketuai guru Besar Elizabeth Lok Fae Ling.

Beliau berharap lawatan seumpamanya diteruskan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan kerjasama antara kedua-dua sekolah terbabit.

Elizabeth merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak SK Merintaman atas kerjasama dan layanan yang amat baik sepanjang program lawatan itu.

Beliau juga berharap jalinan kerjasama itu bukan sahaja melibatkan program PPDa, tetapi juga boleh diperluaskan ke bidang lain seperti perkongsian amalan terbaik dari aspek akademik, kokurikulum dan sebagainya.

Untuk rekod, Bilik Sumber PPDa SK Merintaman telah menerima beberapa anugerah, antaranya ialah menduduki tempat ketiga bagi ‘kategori luar bandar’ pada tahun 2010, johan Bilik Sumber PPDa peringkat negeri Sabah pada 2011 dan juga johan pertandingan Bilik Sumber PPDa peringkat negeri pada tahun lalu (2017).

ROMBONGAN SK Lok Yuk menimba pengalaman dengan melawat Ladang Madu Kelulut di Sipitang.
ROMBONGAN SK Lok Yuk menimba pengalaman dengan melawat Ladang Madu Kelulut di Sipitang.

Di samping itu, SK Merintaman juga telah menerima Anugerah Khas peringkat kebangsaan daripada pihak Pemadam Kebangsaan pada 2017.

Seluruh warga SK Merintaman mengharapkan kemenangan akan terus berpihak kepada sekolah tersebut bagi kategori Bilik Sumber PPDa sebagai wakil negeri Sabah ke Pertandingan/Penarafan Bilik Sumber PPDa peringkat kebangsaan tahun ini (2018).

Sempena program itu, rombongan SK Lok Yuk bukan sahaja melawat di sekolah (SK Merintaman), tetapi juga ke beberapa lokasi lain selaras dengan konsep ‘jauh perjalanan, luas pemandangan, banyak pengetahuan’.

Pihak rombongan turut mengadakan lawatan sambil belajar di Ladang Madu Kelulut Sipitang bagi menimba ilmu dan pengetahuan asas serta pengalaman dalam aspek penternakan lebah madu kelulut.

Melalui lawatan di lapangan itu, guru-guru dan murid-murid SK Lok Yuk dapat melihat sendiri bagaimana proses ternakan lebah kelulut dijalankan serta perkembangan industri ternakan lebah madu kelulut yang kian popular dan amat berpotensi.

  • oleh
  • Advertisement