Anda di sini

Remaja lelaki disyaki pecah masuk rumah sewa direman empat hari

Advertisement

MIRI: Seorang remaja lelaki yang ditangkap kerana disyaki memecah masuk sebuah rumah sewa yang dihuni dua pelajar sebuah pusat pengajian tinggi di sini diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman empat hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai mereman Sarjan Rudy Balan dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Rudy memberitahu pada 12 Mac lalu, seorang pelajar sebuah pusat pengajian tinggi di sini telah membuat laporan polis dengan mendakwa rumah sewanya telah dipecah masuk pencuri.

Dalam aduannya, pengadu, 19, mendakwa sekitar jam 1 pagi hari sama, beliau dan seorang lagi rakan menyedari bahawa rumah mereka telah dipecah masuk pencuri ketika mereka sedang tidur.

Pengadu yang kemudian membuat pemeriksaan lanjut mendapati beberapa barang telah hilang seperti dua unit komputer riba, satu unit telefon bimbit, dua unit bank kuasa serta dua dompet milik pengadu dan seorang rakannya.

Nilai kerugian dianggarkan RM10,000.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 4.20 petang, 14 Mei lalu, sepasukan polis yang melakukan Ops Pintu berjaya menangkap seorang remaja lelaki di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Bandar Baru Permyjaya kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas satu unit telefon bimbit daripada milik suspek untuk dijadikan barang kes.

Dalam permohonan lanjutnya, Rudy memberitahu reman selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 19 tahun dari Senadin di sini amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk mengesan barang kes dan juga rakan suspek yang masih bebas, justeru membebaskan suspek lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Mahkamah membenarkan reman selama empat hari sehingga 19 Mei depan.

Advertisement