Anda di sini

Pupuk kesedaran alam sekitar

Advertisement
ANTARA kakitangan Politeknik Kota Kinabalu yang terlibat dalam program itu.
ANTARA kakitangan Politeknik Kota Kinabalu yang terlibat dalam program itu.

KOTA KINABALU: Seramai 50 orang terdiri daripada kakitangan akademik dan sokongan akademik Politeknik Kota Kinabalu menyertai Program Hari Menanam Pokok Peringkat Politeknik Kota Kinabalu, di sini pada Selasa.

Program julung kali diadakan itu melibatkan penanaman 14 anak pokok pelbagai jenis buah-buahan tempatan antaranya durian musang ming, durian dalit, rambutan, kelapa mawar, kelapa gading, bambangan, tarap, mata kucing dan mangga chokanan.

Pengarah Politeknik Kota Kinabalu Zainab Othman berkata program itu adalah antara usaha untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan kakitangan serta pelajar Politeknik Kota Kinabalu akan kepentingan menjaga dan memelihara alam sekitar.

“Di samping itu, ini adalah salah satu cara mendidik warga Politeknik Kota Kinabalu khususnya para pelajar dalam mengenali jenis pokok dan buah-buahan yang ada. Sebab kita maklum, golongan muda hari ini ramai yang hanya mengenali jenis-jenis buah-buahan tetapi tidak mengenali jenis pokok asal buah-buahan berkenaan,” katanya.

Beliau berharap warga Politeknik Kota Kinabalu akan dapat melihat hasilnya dalam beberapa tahun dan dimanfaatkan bersama.

 ZAINAB (lima dari kiri) dan kakitangan Politeknik Kota Kinabalu bersama anak pokok yang telah ditanam.
ZAINAB (lima dari kiri) dan kakitangan Politeknik Kota Kinabalu bersama anak pokok yang telah ditanam.

Dalam program itu, setiap Jabatan Akademik dan Unit Sokongan Akademik diperuntukkan hingga dua jenis anak pokok untuk ditanam mengikut jabatan masing-masing, seterusnya menjadi tanggungjawab jabatan serta unit masing-masing untuk memastikan kelangsungan anak-anak pokok yang telah ditanam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa PKK Green Hairul Anuar Hussain berkata, program itu adalah antara pelbagai program yang telah disusun dalam usaha untuk mencapai status kampus hijau menjelang tahun 2020.

Menurutnya, Politeknik Kota Kinabalu telah mengisytiharkan kampusnya sebagai Kampus Sifar Polisterin yang telah dilancarkan pada 15 Mac lalu.

KAKITANGAN politeknik mendengar taklimat daripada Hairul tentang kaedah menanam pokok yang betul.
KAKITANGAN politeknik mendengar taklimat daripada Hairul tentang kaedah menanam pokok yang betul.

“Kita berharap sokongan seperti yang ditunjukkan hari ini akan berterusan pada masa akan datang. Program kesedaran seperti ini amat penting kerana ia adalah antara platform untuk kita membantu menambah penghasilan oksigen dan mengekalkan tahap kehijauan kualiti landskap serta alam sekitar yang sihat.

"Di samping itu, program ini juga dapat mengeratkan hubungan antara para pensyarah dan kakitangan di institusi ini,” tambahnya.

Advertisement