Anda di sini

Noorlihan teruja raih Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2018

Advertisement
NURULADHE (kanan) menyampaikan hadiah kepada Noorlihan (dau kanan) dan Avrinda (duduk) sempena sambutan Hari Guru di SK Pekan Satu pada Rabu.
NURULADHE (kanan) menyampaikan hadiah kepada Noorlihan (dua kanan) dan Avrinda (duduk) sempena sambutan Hari Guru di SK Pekan Satu pada Rabu.

LABUAN: Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Sekolah Kebangsaan Pekan Satu Noorlihan Abdul Alip teruja meraih Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2018.

Beliau adalah antara 25 guru daripada 3,000 calon yang terpilih di seluruh negara.

Anugerah itu diadakan bagi menghargai usaha murni guru dalam memupuk nilai-nilai terpuji dan meningkatkan ilmu pengetahuan anak-anak bangsa.

Ia merupakan satu inisiatif di bawah Program Kolaborasi Kementerian Pendidikan dan McDonald’s.

Kemenangan beliau adalah hasil ciptaan karangan bertajuk ‘Cikgu Saya Insan Luar Biasa’ hasil nukilan Avrinda Anis.

Avrinda merupakan murid pendidikan khas yang belajar di kelas biasa iaitu Tahun 6 Bijaksana di SK Pekan Satu.

Hasil karangan itu, Noorlihan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 dan trofi serta sijil manakala Avrinda menerima RM200.

Hadiah disampaikan oleh Pengurus McDonald Labuan Airport Nuruladhe Antilia S Omar.

Turut hadir, wakil McDonalds Kuala Lumpur Nazri Ali dan Iylia Shafiq serta pembantu Mc Donald Labuan Nur Hafikah Sulung, Penolong Kanan Pentadbiran Shawal Abdul Rahman, Penolong Kanan Kokurikulum Zailiana Zainol dan Penolong Kanan Pendidikan Khas Basneh Jamilide.

Noorlihan, 37, tahun tidak menyangka akan meraih anugerah itu lebih-lebih lagi menerimanya sempena Hari Guru 2018 yang disambut di sekolah itu pada Rabu.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Avrinda kerana mencalonkan beliau sebagai guru inspirasinya.

“Saya langsung tidak terfikir akan menerima anugerah ini dan ia adalah satu kejutan yang amat besar sempena sambutan Hari Guru 2018.

“Idea dan karangan yang dicetuskan oleh adik Avrinda Anis ini sangat menyentuh perasaan saya,” katanya.

Noorlihan berharap agar semua guru akan terus menjadi pendidik anak bangsa tidak kira agama, bangsa dan juga fizikal anak-anak.

Beliau yang telah berkhidmat selama 14 tahun di sekolah itu turut mengucapkan terima kasih kepada McDonald kerana memberi peluang kepada anak-anak di seluruh Malaysia melahirkan hasrat mereka melalui penulisan karangan Guru Inspirasi.

“Saya berharap guru-guru akan terus melaksanakan tanggungjawab mendidik murid agar menjadi insan yang berguna kerana merekalah peneraju negara pada masa depan,” katanya.

Advertisement