Anda di sini

Lelaki mengaku tidak bersalah cuba bunuh dengan tembak lelaki lain

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan melakukan cubaan membunuh dengan menembak seorang lelaki lain.

Sebastian Janting Takin, 67, dari Batu Niah telah didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah didakwa melakukan cubaan membunuh dengan menembak Lim Su Kong.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4.52 pagi, 6 Ogos 2017 di kawasan kebun Sebatuk Suai, Niah.

Terdahulu, pegawai pendakwa ASP Koay Kok Ping memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah serta minta dibicara lanjut.

Hakim Steve Ritikos membenarkan permohonan itu dan menetapkan 22 Jun depan untuk pengurusan kes, sementara perbicaraan pula ditetapkan selama lima hari bermula 15 hingga 19 Oktober.

Manakala tertuduh yang diwakili peguambela Rajesh Jethi dibenarkan dibebas dengan jaminan tunai RM8,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement