Anda di sini

Empat maut, dua parah bas ekspres bertembung kereta

Advertisement
KEADAAN kereta sedan yang terbalik selepas bertembung dengan bas ekspres.
KEADAAN kereta sedan yang terbalik selepas bertembung dengan bas ekspres.

RANAU: Empat individu disahkan maut manakala dua yang lain parah dalam pertembungan dua kenderaan di Kampung Meringkan, di sini, petang Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Jimmy Lagung berkata kejadian pada jam 2.30 petang itu membabitkan bas ekspres dan sebuah kereta sedan.

“Bas ekspres yang dinaiki 28 penumpang termasuk pemandu dan pembantu pemandu itu difahamkan dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Semporna sebelum bertembung dengan kereta sedan terbabit.

“Kejadian menyebabkan enam mangsa termasuk pemandu tersepit dalam kenderaan sedan,” katanya.

ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta sedan berkenaan.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta sedan berkenaan.

Menurutnya lapan anggota bersama dua jentera yang tiba di lokasi kejadian sejauh 56 kilometer itu segera melakukan operasi mengeluarkan mangsa tersepit di dalam kenderaan terbabit.

“Dua mangsa parah yang dikeluarkan orang awam sudah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan selanjutnya.

“Empat yang lain disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah, identiti mangsa belum dikenalpasti.

Jimmy berkata operasi ditamatkan pada jam 4 petang namun, punca kejadian masih dalam siasatan.

  • oleh
  • Advertisement