Anda di sini

Anwar bebas

Advertisement
 Anwar bergambar bersama isterinya Wan Azizah selepas sidang media di pekarangan rumahnya di Segambut semalam, setelah dibebaskan apabila menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. Turut sama anaknya, Nurul Ilham Anwar (kanan). — Gambar Bernama
SYUKUR: Anwar bergambar bersama isterinya Wan Azizah selepas sidang media di pekarangan rumahnya di Segambut semalam, setelah dibebaskan apabila menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. Turut sama anaknya, Nurul Ilham Anwar (kanan). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, terima kasih Tuanku.”

Itulah reaksi pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara di sini susulan pembebasannya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama sebelum beredar meninggalkan pekarangan Istana Negara di sini, semalam.

Anwar, 71, dibebaskan serta-merta setelah rayuan pengampunan penuhnya yang diputuskan Lembaga Pengampunan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Dengan wajah yang tidak lekang dengan senyuman, Anwar berkata, fokus beliau kini ialah untuk pulang ke rumah dan meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

Bersama Anwar, isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah.

Dr Wan Azizah berkata, beliau memanjatkan syukur di atas pembebasan suaminya semalam.

“Ia adalah detik yang sungguh bermakna. Saya sangat bersyukur dan lega. Ia satu permulaan untuk membina negara,” kata Dr Wan Azizah.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata, beliau bersyukur di atas pembebasan bapanya yang juga Ketua Umum PKR dan menyifatkan keadilan telah ditegakkan menerusi pembebasan itu.

“Saya menjunjung kasih kepada baginda tuanku,” katanya.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula berkata, pihak kepimpinan parti akan menyusun jadual Anwar agar bekas Timbalan Perdana Menteri itu dapat memainkan peranan lebih aktif dalam politik negara.

“Alhamdulillah, kita bersyukur selesai semua masalah atas limpah perkenan Tuanku untuk memberikan pengampunan penuh kepada Anwar dan kembalikan hak yang sepatutnya sebagai warganegara untuk terus menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau kepada rakyat dan negara,” katanya.

Rayuan pengampunan penuh Anwar dibentangkan dan dipertimbangkan mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah  Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-51 yang berlangsung semalam.

Menurut kenyataan rasmi Istana Negara, Sultan Muhammad V dengan dinasihatkan Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah berkenan rayuan pengampunan penuh Anwar dibenarkan dan dibebaskan serta-merta berkuat kuasa semalam selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Anwar menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah berhubung kes liwat.

Anwar, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, dijadual dibebaskan pada 8 Jun. Sementara itu, pada sidang media pertama selepas dibebaskan di kediamannya di Bukit Segambut Dalam, Anwar menjelaskan permohonan pengampunan dan pembebasannya kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dilakukan kerana kes yang dibawa terhadapnya bercanggah dengan prinsip keadilan.

“Kita tidak memohon keampunan kerana kesalahan disabitkan. Kita tuntut kebebasan kerana fitnah dan salah guna kuasa serta apa yang disebut sebagai perjalanan yang bercanggah dengan prinsip keadilan.

“Prinsip inilah juga yang diterima Sultan Muhammad V untuk pembebasan saya dan semua rekod kes sebelum ini pun telah dibersihkan,” katanya.

Beliau berkata Pengarah Penjara Sungai Buloh, Abdul Kadir Rais, telah memaklumkan bahawa beliau tidak perlu menandatangani sebarang surat kerana telah dibersihkan sama sekali daripada sabitan iaitu meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari pada 2008.

Pada sidang media itu, Anwar turut ditemani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Timbalan Perdana Menteri, dan anak-anak mereka iaitu Nurul Izzah Anwar yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh dan Nurul Nuha.

Menjelaskan lebih lanjut, Anwar berkata dalam kesnya terdapat juga konspirasi jelas untuk menghukum dan membunuh karier politiknya.

“Saya bersyukur kepada Allah apabila Yang di-Pertuan Agong bersetuju bahawa pengampunan itu adalah lengkap dan tidak bersyarat,” katanya.

Beliau turut menyifatkan bahawa Malaysia pada masa ini sedang beralih ke era baharu dan beliau telah memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memimpin negara.

“Saya sebagai warganegara akan memberi komitmen dan sokongan kepada kerajaan semasa untuk mentadbir negara dengan membawa agenda pembaharuan,” katanya.

Mengulas pembebasannya, Anwar berkata pengajaran paling penting yang boleh dipelajari dalam kehidupan seorang banduan adalah nilai kebebasan.

“Tiada seorang pun atau sesiapa sahaja yang dibenarkan untuk mengharungi persendaan seperti yang menimpa diri saya... kita perlu menghentikan ini semua buat selamanya,” katanya. - Bernama

Advertisement