Anda di sini

Wartawan didenda RM1,200 buat laporan polis palsu

Advertisement
 Fong (dua kiri) didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret dekat Bukit Mertajam, semalam kerana membuat laporan polis palsu kononnya dia disamun oleh dua lelaki yang menaiki motosikal, 2 Mei lepas. — Gambar Bernama
LAPORAN PALSU: Fong (dua kiri) didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret dekat Bukit Mertajam, semalam kerana membuat laporan polis palsu kononnya dia disamun oleh dua lelaki yang menaiki motosikal, 2 Mei lepas. — Gambar Bernama

BUKIT MERTAJAM: Seorang wartawan didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana membuat laporan polis palsu kononnya dia disamun oleh dua lelaki yang menaiki motosikal, 2 Mei lepas.

Majistret Dianne Ningrad Nor Azahar menjatuhkan hukuman itu ke atas Fong Kee Soo, 37, selepas lelaki itu mengaku memberi maklumat palsu secara bertulis di Balai Polis Perai, dekat sini pada jam 9.14 malam, 2 Mei lepas.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan jika dia gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Tertuduh yang masih bujang itu didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Fong yang diwakili peguam K. Kumarathiraviam merayu hukuman berbentuk denda dengan alasan itu adalah kesalahan pertama tertuduh dan kesalahan itu hanya melibatkan laporan polis palsu yang tidak mendatangkan kecederaan dan kesusahan kepada sesiapa.

Timbalan Pendakwa Raya Nazratul Natrah Mohd Yusuf memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana perbuatan tertuduh membazirkan masa pegawai penyiasat untuk menyiasat satu kes yang tidak wujud.

Berdasarkan fakta kes, Fong didakwa membuat laporan polis bahawa dia disamun oleh dua lelaki yang menunggang motosikal dengan menendang motosikal yang ditungganginya dari arah belakang sebelum mereka merampas beg galas miliknya dan melarikan diri di kawasan perindustrian menuju ke Jalan Chain Ferry, Perai dekat sini pada 8.30 malam, 2 Mei lepas.

Bagaimanapun, hasil siasatan polis mendapati tertuduh telah membuat laporan polis palsu disebabkan masalah kewangan. — Bernama

Advertisement