Anda di sini

Warga asing miliki motosikal curi dipenjara, didenda

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam atas kesalahan memiliki sebuah motosikal curi.

Hukuman itu dijatuhkan Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Donatus Andika dari Kalimantan Barat, Indonesia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati dengan sengaja telah menyimpan harta curi iaitu sebuah motosikal bernombor pendaftaran QAQ41xx kepunyaan Hata Salleh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2 petang, 29 April lalu di Jalan Persekutuan, Miri-Bintulu di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman ke atasnya diringankan.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili.

Advertisement