Anda di sini

SCC bina Asrama Desa untuk SK Losou Podi

Advertisement
VINCENT (empat kiri) menyerahkan kunci Asrama Desa kepada Guru Besar SK Losou Podi Selip Magaling (tiga kanan).
VINCENT (empat kiri) menyerahkan kunci Asrama Desa kepada Guru Besar SK Losou Podi Selip Magaling (tiga kanan).

KOTA BELUD: Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) telah melaksanakan tanggungjawab sosial (CSR) dengan terbinanya sebuah Asrama Desa lengkap dengan kemudahan penghuni bernilai RM387,131.90 bagi SK Losou Podi di sini.

Pengarahnya Datuk Vincent Fung berkata, kos keseluruhan pembinaan Asrama Desa bagi 60 murid di sekolah itu adalah sebahagian daripada jumlah keuntungan SCC sejak 2006 hingga 2017, iaitu RM1,769,248 yang telah disalurkan untuk membina pelbagai kemudahan pembelajaran dan hospital khusus bagi daerah ini sahaja.

Katanya, di daerah ini sahaja, SCC telah melaksanakan CSR iaitu membina Asrama Desa di SK Kuala Abai, Klinik Desa Kota Belud, Pusat Pembelajaran St Edmund, mesin dialisis di Hospital Kota Belud, Asrama Desa dan perabot di SK Taginambur, Pusat Perhimpunan SK Melangkap, Pondok Pelindungan Kampung Kiau Nulu dan Aarama Desa di SK Melangkap.

 VINCENT (kanan) menyempurnakan gimik persamian Asrama Desa SK Losou Podi, diperhatikan oleh Guru Besar Selip Magaling (kiri).
VINCENT (kanan) menyempurnakan gimik perasmian Asrama Desa SK Losou Podi, diperhatikan oleh Guru Besar Selip Magaling (kiri).

"Selain itu, pembaikan bangunan Ibu Divine Grace, bangunan pengeluaran nanas Koonduan Kiau Nuluh Enterprise, bangunan RMT SK Bangkahak dan Dewan Serbaguna Terbuka SK Mengkulat sementara, pembinaan dewan terbuka bagi SK Toguson dan SK Taginambur pula masing-masing akan diperuntuk RM30,000 dan RM35,000 pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Asrama Desa dan Perabot sempena Sambutan Hari Guru Peringkat SK Lasau Podi, 35 kilometer dari sini pada Rabu.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Victor SCC Mosibol, Pengerus Cawangan SCC Kota Belud Rachellyinna Tanggau, Penolong Pegawai Pendidikan Haji Baharom Haji Hasim, Guru Besar SK Losou Podi Selip Magaling, Penolong Kanan Satu Maarof Rajiun dan Pengerusi PIBG Roslan Duraman.

Vincent berkata, SCC adalah sebuah badan berkanun negeri di bawah Kementerian Kawangan Negeri Sabah.

Katanya, ia adalah milik penuh Kerajaan Negeri Sabah dan fungsi utamanya adalah membantu kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pemberian pinjaman.

“Perbadanan Pinjaman Sabah telah wujud sejak 1955 lagi, kini ia sudah berumur lebih kurang 63 tahun. SCC adalah salah satu agensi Kerajaan Negeri yang sangat aktif dalam melaksanakan tanggungjawab sosial di negeri ini.

“Setakat ini, kita telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membayai berbagai jenis projek CSR di seluruh negeri Sabah terutamanya di kawasan luar bandar.

“Kita dapat berkongsi dan menikmati rahmat ini hasil daripada sokongan kebanyakan kakitangan negeri dan persekutuan yang berkhidmat di Sabah. Secara tidak langsung, semua kakitangan kerajaan yang menyokong perbadanan ini dengan melanggan produk yang ditawarkan,” jelasnya.

Setiap tahun kata Vincent, SCC peruntukkan 10 peratus keuntungan untuk dibelanjakan bagi membantu golongan yang memerlukan. Kebanyakan peruntukan telah disalurkan ke arah mempertingkatkan taraf pendidikan dan kesihatan rakyat di negeri ini.

VINCENT (duduk, tengah) merakam gambar bersama warga SK Losou Podi dan kakitangan SCC.
VINCENT (duduk, tengah) merakam gambar bersama warga SK Losou Podi dan kakitangan SCC.

“Oleh itu, untuk meningkatkan sumbangan perbadanan dalam aktiviti tanggungjawab sosial ini, teruskanlah menyokong kami dengan membantu mempromosikan produk SCC,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pelangan SCC atas sokongan kepada produk perbadanan itu kerana tanpa sokongan para pelanggan, visi dan misi SCC membantu masyarakat luar bandar tidak akan menjadi kenyataan.

Sementara itu, mantan Guru SK Losou Podi, Mandai Duasa dianugerahkan sebagai Tokoh Guru SK Losou Podi 2018. Penghargaan itu disampaikan oleh Vincent.

Advertisement