Anda di sini

Reaksi pasaran kewangan lebih baik daripada jangkaan awal

KUALA LUMPUR: Reaksi pasaran kewangan secara keseluruhan lebih baik daripada jangkaan awal, kata Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata antara sebab utamanya adalah peralihan kuasa kepada kerajaan Pakatan Harapan terlaksana secara lancar dan aman, asas  ekonomi negara yang kukuh serta keyakinan  rakyat dan pelabur terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pasukannya.

Katanya ini termasuklah penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan yang dianggotai oleh tokoh ternama iaitu bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Hassan Merican, tokoh perniagaan Tan Sri Robert Kuok dan Ahli Ekonomi Profesor Jomo Kwame Sundaram.

“Semalam (kelmarin) merupakan hari pertama pasaran kewangan dibuka selepas ditutup selama tiga hari berikutan Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Ramai pelabur yang gusar mengharungi hari pertama pasaran. Namun, alhamdulillah ia tidak seteruk yang dijangka,” katanya dalam kenyataan semalam.

Abdul Wahid berkata di Bursa Malaysia, indeks FBM KLCI ditutup 3.91 mata lebih tinggi kepada 1,850.42 selepas turun ke paras terendah 1,800 mata pada awal pagi.

“Di pasaran mata wang, ringgit kembali ke paras 3.95 berbanding dolar AS selepas turun ke paras 3.99 pada awal pagi. Di pasaran bon pula, kadar pulangan sekuriti hutang kerajaan Malaysia dengan tempoh matang 5 tahun meningkat sedikit kepada 3.8655 peratus berbanding 3.8283 peratus pada 8 Mei lepas,” katanya.

Beliau berkata semalam hari kedua pasaran dibuka dan dijangka ketidaktentuan pasaran saham akan terus berlaku.

“Memang banyak cabaran yang perlu dihadapi dalam pengurusan kewangan dan fiskal kerajaan. Namun, saya percaya ahli-ahli Majlis Penasihat yang berwibawa akan dapat mengatasi cabaran tersebut.

“Insya Allah, berdasarkan keyakinan yang telah disebut di atas, segala ketidaktentuan pasaran dapat dilalui dengan tenang dan teratur,” katanya.

Abdul Wahid juga berkata Malaysia telah melakar sejarah apabila peralihan kuasa kerajaan telah berjalan secara demokratik dengan aman dan lancar.

“Tiada keganasan, tiada huru-hara dan tiada perisytiharan darurat. Tiada kehadiran tentera di jalan raya. Ramai rakan-rakan dari luar negara mengagumi apa yang telah dicapai oleh Malaysia. ‘Malaysia is a showcase of democracy in action’,” katanya. — Bernama