Anda di sini

Rasuah: Bekas sarjan mula jalani pemenjaraan

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini, memerintahkan seorang bekas anggota polis berpangkat sarjan, mula menjalani pemenjaraan atas tiga pertuduhan rasuah.

Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu terhadap Abdul Malek A. Bakar, 58, setelah dimaklumkan pihak pendakwaan bahawa tertuduh tidak ingin meneruskan rayuan atas sabitan dan hukuman.

Timbalan Pendakwaraya Rozana Hj Abd Hadi juga memohon agar waran komital dikeluarkan terhadap tertuduh dan menyatakan, hukuman denda RM20,000 sudah dibayar.

Sementara itu, peguam Aaron Mah mengesahkan perkara terbabit dan menyatakan, tertuduh tidak berminat untuk meneruskan rayuannya di Mahkamah Tinggi.

Pada 30 April, Hakim Nixon Kennedy Kumbong mengenakan penjara enam minggu dan denda RM20,000 terhadap Abdul Malek, setelah didapati bersalah.

Tertuduh sebagai pegawai penyiasat setuju menerima wang tanpa balasan sebanyak RM300 daripada Dinah Gilong penjamin kepada Dio Romeo Liddoe.

Kesalahan dilakukan pada 10 November 2015 jam 6.30 petang di bilik Balai Polis Manggatal, di sini.

Dio ditangkap pada 6 November tahun sama, atas kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Sekali lagi, tertuduh menerima RM1,000 daripada sepuluh individu melalui Timothy Boriul yang ditangkap pada 6 November 2016, kerana disiasat dalam kes sama.

Kesalahan dilakukan pada 11 November 2015 jam 11 pagi, di kawasan Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu, di sini.

Pada 10 November 2015 jam 5.30 petang di bilik Balai Polis Manggatal, di sini, tertuduh menerima RM300 daripada J.S Julivin Boby Santong.

J.S Julivin penjamin kepada Van Brawin Santong yang ditangkap pada 6 November 2015, disiasat dalam kes sama.

Semua pertuduhan itu, tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, penjara selama dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh masing-masing dikenakan penjara dua minggu dan denda RM5,000 atau penjara tiga bulan.

Manakala, ketiga pemenjaraan selama dua minggu dan denda RM10,000 atau penjara enam bulan.

Nixon memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bagi pertuduhan ketiga secara berasingan dengan hukuman bagi pertuduhan pertama dan kedua, yang berjalan secara serentak.

  • oleh
  • Advertisement