Anda di sini

Penyokong IS tembak polis Philadelphia dijatuhi hukuman penjara berat

ARCHER
ARCHER

NEW YORK: Seorang lelaki yang mendakwa setia kepada kumpulan Daesh (IS) ketika dia menembak seorang anggota polis Philadelphia pada tahun 2016 kelmarin dijatuhi hukuman minimum 48 tahun dan 6 bulan dalam penjara.

Edward Archer, 33, menye-rang hendap Jesse Hartnett pada 7 Januari, 2016  ketika anggota polis itu sedang melakukan rondaan di dalam keretanya.

Archer melepaskan 12 das tembakan dengan sepucuk pistol, mengenai Hartnett  sebanyak tiga kali dan menyebabkan tulang lengannya patah.

Serangan itu memarakkan kebimbangan pada masa terdapat peningkatan dalam serangan keganasan “sendirian” yang mendapat inspirasi ekstremis, namun tidak diarahkan, oleh IS atau Al-Qaeda.

Archer telah dirakamkan dalam video memakai sepasang jubah putih panjang dan menembak sambil dia berlari ke arah kenderaan polis dan mengacukan pistol melalui tingkap kereta, terus melepaskan tembakan, sebelum akhirnya melarikan diri.

Hartnett, di sebalik kecederaannya, berjaya keluar dari kereta dan membalas tembakan, mengenai bahagian punggung Archer.

Archer kemudian memberitahu polis dia telah dipe-ngaruhi oleh IS.

Walaupun dia didapati pernah pergi ke Arab Saudi dan Mesir beberapa tahun sebelumnya, pihak berkuasa tidak mengaitkan dia secara langsung dengan mana-mana kumpulan jihad, dan dia tidak didakwa dengan mana-mana kesalahan berkaitan dengan keganasan.

Archer telah didapati bersalah bagi cubaan membunuh pada 1 Februari selepas perbicaraan selama dua minggu.

Dia dijatuhi hukuman maksimum – dalam lingkungan 48 tahun dan 6 bulan hingga 97 tahun dalam penjara.

Hartnett, yang sedang beransur pulih daripada kecederaannya selepas 11 pembedahan, berkata beliau “amat gembira” dengan hukuman itu, lapor televisyen ABC.

“Saya benar-benar inginkan hukuman maksimum dan dia akan menerima hukuman maksimum. Saya berharap dia akan mendapat lebih daripada itu,” katanya.

“Asalkan dia tidak keluar dari penjara, saya akan berasa gembira.” — AFP