Anda di sini

Penarafan Malaysia kekal kukuh: RAM Ratings

Advertisement

KUALA LUMPUR: RAM Rating Services Bhd menjangkakan penarafan gA2 Malaysia kekal kukuh, berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini.

Agensi penarafan itu berkata, beberapa perubahan dasar ekonomi dan fiskal akan mewujudkan ketidaktentuan dalam jangka masa terdekat memandangkan tiada butiran terperinci pada masa ini, namun penekanan oleh kepimpinan baharu terhadap tadbir urus dan pembaharuan institusi, menyediakan kedudukan positif asas negara dalam jangka panjang.

“RAM Ratings melihat asas makroekonomi Malaysia yang kukuh sebagai pemacu utama momentum pertumbuhan yang mampan, dan faktor pusat yang menyokong penarafannya pada masa akan datang,” katanya.

Ia berkata, 10 janji PH dalam tempoh 100 hari pertama, dilihat sebagai menyokong aktiviti penggunaan swasta, dan oleh itu memberikan potensi peningkatan kepada unjuran pertumbuhan penggunaan swasta semasa negara sebanyak 7.2 peratus untuk 2018.

Agensi penarafan itu berkata usaha merealisasikan rangsangan pengunaan banyak bergantung kepada berapa cepat dasar semasa boleh berubah, dan yang baharu  dilaksanakan, seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Bentuk ini (SST) menjadi antara aspek yang boleh ditimbang dari segi skop hasil kerajaan dan rangsangan penggunaan,” katanya.

Ia juga berkata, inflasi boleh mencatatkan paras yang lebih rendah berbanding unjuran sebelum ini sebanyak 2.3 peratus tahun ini disebabkan jangkauan cukai tidak langsung yang kecil, dan pengenalan semula subsidi bahan api.

“Tahap tekanan menurun ke atas harga sekali lagi bergantung kepada butiran dasar seperti tahap sokongan subsidi dan pada tahap harga akan dibendung,” katanya.

RAM Ratings berkata, ada kemungkinan beberapa risiko penurunan sementara dalam tempoh 100 hari akan datang sehingga pembentukan kerajaan baharu PH dan butiran pelaksanaan janji utama terlaksana.

“Oleh itu, RAM mengekalkan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) semasa bagi 2018 pada 5.2 peratus,” katanya.

Ia berkata agensi itu memantau perkembangan, terutama oleh Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan, untuk merangka sebahagian besar pembaharuan ekonomi dan mengekalkan kestabilan kewangan sepanjang tempoh peralihan ini.

RAM Ratings berkata risiko penurunan pertumbuhan KDNK banyak bergantung  kepada momentum pelaburan yang dijangkakan dalam dua bentuk — kelembapan kadar pelaksanaan pelaburan infrastruktur ekoran kajian semula  kontrak dengan penyertaan asing, serta ketidaktentuan pasaran yang akan melemahkan aktiviti pembangunan kapasiti dalam tempoh terdekat.

“Ini akan mewujudkan tekanan ke atas unjuran pelaburan swasta semasa kami sebanyak lapan peratus tahun ini, walaupun kami masih mengawasi sejauh mana proses ini disegerakan supaya berada pada kedudukan yang betul,” katanya.

Ia berkata, kajian semula dan potensi pembukaan semula kontrak kerajaan kepada pusingan tender terbuka lain juga boleh memberi kesan ke atas projek yang sedang dijalankan.

RAM Ratings berkata ,sebarang turun naik dalam pasaran bon ditangani oleh asas pelabur institusi domestik yang kukuh, dan menjangkakan terbitan bon korporat menjadi perlahankan, terutama apabila kerajaan menilai semula tanggungan kontinjennya.

Bagaimanapun, ia mengekalkan unjuran terbitan bon korporat kasar sebanyak RM90-100 bilion tahun ini berikutan pengeluaran bon korporat yang lebih baik daripada jangkaan RM42.1 bilion pada akhir April.

Namun katanya, beberapa janji pilihan raya PH boleh memberi kesan ke atas beberapa sektor korporat, yang sebahagiannya penerbit bon utama, selain kajian semula projek-projek infrastruktur yang besar dan pemansuhan tol di lebuh raya di bawah konsesi kerajaan boleh memberi kesan kepada beberapa penggiat dalam sektor pembinaan selain projek jalan bertol.

RAM Ratings akan membuat analisis awal ke atas sektor yang terjejas apabila lebih banyak maklumat lanjut diperoleh. — Bernama

Advertisement