Anda di sini

Pembantu juruterbang ‘disedut separuh keluar’ dari cermin depan

Advertisement
 Pekerja memeriksa pesawat Sichuan Airlines yang membuat pendaratan kecemasan selepas cermin depan kokpit tercabut, di lapangan terbang di Chengdu, wilayah Sichuan, China kelmarin. — Gambar Reuters
PERIKSA: Pekerja memeriksa pesawat Sichuan Airlines yang membuat pendaratan kecemasan selepas cermin depan kokpit tercabut, di lapangan terbang di Chengdu, wilayah Sichuan, China kelmarin. — Gambar Reuters

SHANGHAI: Pembantu juruterbang sebuah pesawat Sichuan Airlines yang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan kelmarin telah “disedut separuh” keluar dari pesawat selepas sebuah cermin depan di kokpit tercabut, lapor media tempatan memetik kapten pesawat tersebut.

Kapten Liu Chuanjian, diraikan sebagai seorang wira dalam media sosial selepas berjaya mendaratkan pesawat Airbus A319 secara manual, memberitahu Chengdu Economic Daily bahawa pesawatnya telah mencapai altitud penerbangan setinggi 32,000 kaki apabila satu bunyi yang sangat kuat kedengaran me-lalui kokpit.

Kokpit telah mengalami kehilangan tekanan yang mengejut dan kejatuhan suhu serta ketika beliau melihatnya, cermin kanan kokpit telah tiada lagi.

“Tidak ada sebarang tanda amaran. Tiba-tiba, cermin telah pecah dan menghasilkan satu bunyi yang sangat kuat. Seterusnya yang saya tahu, pembantu juruterbang saya telah disedut hampir separuh keluar dari cermin depan itu,” beliau dipetik sebagai berkata.

“Semua benda di dalam kokpit telah terapung di udara. Kebanyakan peralatan tidak berfungsi...dan saya tidak dapat mendengar radio. Pesawat telah bergegar dengan begitu kuat sehingga saya tidak dapat membaca alat pengukur,” katanya.

Pembantu juruterbang, yang memakai tali pinggang keselamatan, telah ditarik masuk. Beliau mengalami calar dan lengannya terkehel, kata Pentadbiran Penerbangan Awam China, sambil menambah bahawa seorang anggota kru kabin lain turut tercedera dalam kejadian itu.

Tiada seorangpun daripada 119 penumpang pesawat yang tercedera.

Satu siasatan mengenai bagaimana insiden itu berlaku sedang dilakukan.

Pesawat, Sichuan Airlines 3U8633, telah meninggalkan pekan kecil Chongqing di tengah China pada pagi kelmarin dan dalam perjalanan untuk ke bandar utama Tiber Lhasa. Ia melakukan pendaratan kecemasannya di bandar barat daya Chengdu.

“Kru sedang menghidangkan kami sarapan pagi ketika pesawat itu mula bergoyang. Kami tidak mengetahui apa yang telah berlaku dan kami semua berasa panik. Kemudian topeng oksigen dijatuhkan… Kami mengalami kejatuhan selama beberapa saat sebelum ia berjaya distabilkan semula,” seorang penumpang yang tidak dikenali memberitahu Perkhidmatan berita China yang dimiliki oleh kerajaan.

“Saya masih berasa takut. Saya tidak berani untuk menaiki pesawat lagi. Namun saya berasa gembira saya telah terselamat.”

Cermin itu pecah kira-kira setengah jam selepas pesawat tersebut berlepas pada jam 6.25 pagi waktu tempatan, menurut  Chengdu Economic Daily. Satu laporan berasingan menyatakan pesawat itu telah mengumpulkan 19,912 jam penerbangan sejak mula berkhidmat di Sichuan Airlines pada Julai 2011.

Beberapa insiden yang melibatkan cermin tingkap retak  pernah berlaku pada satu keadaan biasa disebabkan oleh kejadian seperti  burung atau panahan kilat namun kejadian yang melibatkan seluruh cermin tercabut adalah jarang berlaku.

Pada 1990, salah seorang dari juruterbang bagi British Airways Flight 5390 telah separuh diterbangkan keluar dari tingkap kabin selepas cerminnya tercabut pada ketinggian 23,000 kaki. Beliau terselamat dalam insiden itu, yang berlaku dalam sebuah jet BAC-111. – Reuters

Advertisement