Anda di sini

Pelbagai program menarik di RTM sepanjang bulan Ramadan

Advertisement
 Ashraf Muslim (kanan), Harris Baba (kiri) dan PU Azman dalam ‘Geng Tadarus’ di TV2.
MENARIK RAMADAN INI: Ashraf Muslim (kanan), Harris Baba (kiri) dan PU Azman dalam ‘Geng Tadarus’ di TV2.

RADIO Televisyen Malaysia (RTM) bakal berkongsi tayangan 17 program terbaharu keseluruhannya sepanjang Ramadan ini. Masing-masing 11 program di TV1 dan enam program menerusi saluran TV2 yang merangkumi telemovie, drama bersiri, majalah, dan dokumentari.

Program tonggak iaitu ‘Syahadah 2018 musim ke-13’ kali ini memaparkan kisah muslim minoriti yang tinggal di Jepun. Ia disiarkan Ramadan ini mulai 7 Jun 2018, menerusi TV1 jam 6.30 petang, dan ulangannya jam 11.30 malam manakala TV2 menyiarkannya jam 6.00 petang, sementara ulangan jam 5.30 pagi.

Saluran utama TV1 menyiarkan 30 episod program ‘Ketuk-Ketuk Ramadan musim ke-14’ mulai 16 Mei (hari ini), setiap hari, jam 12.30 tengah hari.

Program majalah nombor satu Ramadan ini menampilkan artis terkenal Ismail Izani Raisha Senrose, Wawa Zainal, Erma Fatima, Syuk Balas, Haqiem Rusli, Ayda Jebat dan ramai lagi.

Saksikan drama bersiri sarat pengajaran dan keinsafan bertajuk ‘Isteri Untuk Diiktiraf’ lakonan Redza Rosli, Elvina Mohamad, Janna Nick, Shah Jaszle, dan Dayana Roza.

Siri adaptasi novel karya Nurfaza Alisya ini mengisahkan kedudukan Safiyya sebagai isteri berasal dari kampung sering dihina oleh suaminya, Tengku Wildan yang ada hubungan dengan Ann Julia. Tetapi Safiyya bukanlah jenis perempuan kampung yang boleh disindir-sindir sangat, dia akan lawan juga. Ia disiarkan setiap hari, mulai 16 Mei (hari ini), jam 7.00 petang mengisi slot Widuri Khas Ramadan.

Slot Kejora pula menyiarkan drama bersiri ‘Destinasi Ukhwah’ mulai 17 Mei ini (esok), jam 11.30 pagi yang memaparkan kisah empat pemuda yang bertemu di Johor dan memulakan pengembaraan dari negeri ke negeri, bertemu pelbagai kisah kehidupan untuk menyampaikan dakwah. Pelakon utama Amerul Affendi, Fendi Bakry, Zalif Sidek dan Adam Shahz.  

Empat telemovie mengisi slot Panggung Seri disiarkan jam 9.00 malam bertajuk ‘Kerantung’ (19 Mei), ‘Permaisuri Syurga’ (26 Mei), ‘Perahu Kecil’ (2 Jun) dan ‘Ayah Bohong Lagi’ (9 Jun).

Diikuti program majalah travelog ‘4 Iwan’ (mulai 17 Mei ini, setiap hari, jam 5.30 petang), ‘Nukilan Ramadan’ (mulai 30 Mei ini, setiap hari, jam 5.30 petang) juga program animasi kanak-kanak bertajuk ‘Iqwan & Iqwin’ mulai 16 Mei (hari ini), jam 2.30 petang.

TV2 pula tampil dengan tiga drama bersiri bertajuk ‘Selumbar Kasih’, ‘Geng Bazar’ dan ‘Geng Tadarus’ juga program ‘Kecoh Dapur’ siri 3 disiarkan mulai 15 Mei lepas, setiap Isnin hingga Sabtu, jam 4.00 petang.

‘Selumbar Kasih’ yang ditayangkan mulai 15 Mei, setiap Isnin hingga Sabtu, jam 1.00 tengah hari pula menampilkan lakonan mantap Jasmin Hamid, Zarina Zainoordin, Azzahra Ahmad, Erry Putra, Azhan Rani, dan Idzham Ismail.

Ia mengangkat watak Khadijah, ahli perniagaan yang menempuh pelbagai cabaran dalam perniagaan dan kehidupannya setelah kematian suaminya.

Khadijah berkahwin dengan Nadim yang muda daripadanya meskipun tidak direstui anaknya Fahmi.

Khadijah mengalami kejatuhan buat kali kedua dalam hidupnya bila Nadim curang dan perniagaannya kembali bermasalah. Ikuti kecekalan Khadijah bangkit semula daripada kegagalan hidupnya.

Kisah kekeluargaan melatari 26 episod ‘Geng Bazar’ yang juga disiarkan mulai 15 Mei lepas, setiap Isnin hingga Sabtu, jam 4.30 petang kisah usaha sekumpulan peniaga bazar cuba membantu Pak Mat yang ditimpa kemalangan untuk mengumpulkan duit bagi menjenguk anaknya yang berada di Rusia.

Akan tetapi mereka mula berubah apabila ada pihak yang menganjurkan pertandingan gerai tercantik dengan tawaran hadiah RM1000 kepada pemenangnya. Ia dilakonkan oleh Haeryanto Hassan, Kathy Azian, dan Hafiz Halim.

Dibintangi pelakon Reen Rahim, Syakilla Koriri, Tasya yong, Ieda Moin, Harris Baba,Liza Abdullah, dan Ashraf Muslim, ikuti komedi dalam ‘Geng Tadarus’ yang disiarkan mulai 15 Mei, setiap Isnin hingga Sabtu, jam 11.30 malam.

Ia memaparkan Arlene, bekas ratu cantik yang kehilangan suami dan anak dalam nahas kapal terbang. Arlene sunyi lalu dia menghubungi rakan-rakan sekolahnya dan nekad memantapkan ilmu agama seiring pernghijrahannya lalu mereka sepakat menubuhkan ‘Geng Tadarus’.

Turut disiarkan program travelog ‘Musafir’ mulai 11 Mei 2018, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang yang menampilkan Mawi sebagai pengacara mengembara ke beberapa desa terpencil seluruh Malaysia mencari keunikan masyarakat pedalaman meraikan bulan Ramadan.

Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my).

Rancangan ini juga dapat ditonton melalui aplikasi rtm mobile.

Advertisement