Anda di sini

Pecah amanah: bekas akauntan dipenjara empat tahun

Advertisement
 Teo (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen selepas dijatuhkan hukuman, petang semalam.
KESAL: Teo (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen selepas dijatuhkan hukuman, petang semalam.

SIBU: Seorang bekas akauntan sebuah kedai menjual buku dijatuhkan hukuman empat tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen petang semalam selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah.

Tertuduh yang hanya dikenali sebagai Teo, 45, terdahulu menghadapi 20 pertuduhan pecah amanah melibatkan 20 cek milik kedai buku itu yang kesemuanya berjumlah RM86,862.75.  

Hakim Caroline Bee Majanil terdahulu menjatuhkan hukuman empat tahun penjara terhadap tertuduh bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan agar kesemua hukuman penjara terhadap tertuduh yang merupakan ibu tunggal, berjalan serentak.

Mengikut pertuduhan, Teo didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas melakukan pecah amanah itu antara 28 Julai 2016 dan 11 Januari 2017 dan didakwa mengikut Seksyen 408 yang dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan.

Seksyen 408 memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Teo dalam rayuannya memberitahu telah bercerai dengan suaminya serta mempunyai empat anak berusia antara lapan dan 17 tahun, selain terpaksa menjaga kedua-dua orang tuanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam juga memberitahu kesal dengan kesalahan yang telah dilakukannya.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Zulfadhli Tuah.

Advertisement