Anda di sini

"Masa sudah lama berlalu...saya pun sudah memaafkan Dr M" - Anwar Ibrahim

Dr Mahathir bersalaman bersama Anwar dan berbincang sesuatu ketika hadir menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sang Garuda sudah bebas daripada kurungan dengan membawa bersamanya banyak kenangan pahit, tetapi beliau dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menanam dengan sedalam-dalamnya segala dendam dan permusuhan, demi kepentingan negara.

Lelaki  yang dinanti-nantikan setiap orang sejak 20 tahun lepas, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini dikurniakan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, berikutan kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini.

Kelihatan bertenaga dengan senyuman sentiasa terukir di wajah, Anwar, pada sidang media pertamanya selepas dibebaskan, berkata banyak orang bertanya dan berasa sinis bagaimana beliau akan dapat bekerjasama dengan Dr Mahathir jika diambil kira perkara yang telah berlaku 20 tahun lepas .

“Saya dan Dr Mahathir sudah kebumikan permusuhan? Maksud saya masa sudah lama berlalu… Banyak orang bertanya kenapa anda bekerjasama dengan orang itu? Lalu mereka menjadi begitu sinis… Anda pastikah? Ikhlaskah anda?

“Malah, seorang negarawan yang amat terkenal di dunia bergurau  dengan saya…. Kata beliau ‘Anwar, betulkah ini? Adakah anda bercakap benar? Pandanglah muka saya dan katakan anda sudah memaafkan beliau,” katanya.

Anwar, yang duduk bersebelahan isteri beliau, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kepada media: “Lalu, saya pandang wajahnya dan berkata, minat saya sekarang ialah tentang kebajikan negara.

“Saya sudah maafkan beliau (Dr Mahathir) dan beliau pun sudah membuktikan ketulusannya, beliau melakukan pengorbanan, beliau diasak oleh media… saya ingin katakan… ia seperti suatu deja vu!” kata bekas menteri kewangan itu.

Menurut Anwar, Dr Mahathir telah bertungkus-lumus, berusaha dengan tekun dan kini menyokong agenda pembaharuan.

“Beliau telah mempermudahkan pembebasan saya… Patutkah saya menyimpan sebarang perasaan tidak baik terhadap beliau?” tanyanya.

Ditanya kenapa beliau memberi ruang kepada seorang  lelaki berusia 93 tahun untuk mentadbir negara ini, sedangkan beliau mendapat sokongan besar, Anwar berkata Dr Mahathir komited terhadap agenda pembaharuan, yang merupakan agenda golongan muda di negara ini.

“Kedua, ia bukan sistem diktator, ia bukan urusan secara berseorangan… Ia merupakan keputusan yang akan dibuat sepasukan pemimpin daripada Pakatan Harapan bersama-sama Dr Mahathir, yang menjadi ketua utama dalam keseluruhan prosesnya.

“Dan dalam sekian banyak komennya, beliau telah mengetengahkan sentimen, suara hati serta aspirasi orang muda,” kata Anwar. - BERNAMA