Anda di sini

Lima lelaki direman bantu siasatan kes merusuh

Advertisement

SANDAKAN: Pihak polis di sini telah menahan reman lima lelaki berusia 17 hingga 20 tahun bagi membantu siasatan kes merusuh tanpa senjata terhadap seorang lelaki di perkarangan Harbour Mall Sandakan pada petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata, daripada lima yang ditahan, tiga merupakan pelajar sekolah.

Katanya, siasatan awal mendapati motif kejadian berlaku hanya kerana mangsa yang berusia 18 tahun itu telah melihat ke arah sekumpulan lelaki berkenaan.

MOHD Azhar (dua kiri) menunjukkan barang kes jenayah yang dilaporkan berlaku di sekitar Sandakan.
MOHD Azhar (dua kiri) menunjukkan barang kes jenayah yang dilaporkan berlaku di sekitar Sandakan.

Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Mesyuarat Jabatan Siasatan Jenayah Balai Polis Bandar Sandakan pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Azhar berkata pada penghujung April hingga 15 Mei, IPD Sandakan terus melakar kejayaan dalam membasmi jenayah secara proaktif khususnya menjaga kepentingan masyarakat Sandakan.

Antara operasi yang dijalankan termasuk Ops Cantas, Ops Pintu dan pencegahan jenayah.

"Hasil operasi yang dijalankan, pihak polis berjaya menumpaskan individu dan kumpulan yang terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah curi harta benda, pecah rumah dan samun.

"Kita juga percaya telah menyelesaikan 10 kes jenayah dengan penangkapan enam suspek lelaki berusia 21 hingga 54 tahun yang mana lima daripadanya adalah warga asing, selain merampas 41 barangan termasuk dua kereta yang digunakan untuk kegiatan jenayah mereka," katanya.

SEBAHAGIAN barang kes yang dirampas.
SEBAHAGIAN barang kes yang dirampas.

Untuk rekod, IPD Sandakan berjaya menurunkan 54 kes atau 21.69 peratus kes jenayah serta sembilan kes pecah rumah di daerah ini bagi tempoh Januari hingga 15 Mei ini.

Kejayaan itu juga adalah hasil kerjasama masyarakat yang terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

  • oleh
  • Advertisement