Anda di sini

Kerajaan kurangkan pembaziran

Advertisement

Termasuk tamatkan perkhidmatan 17,000 penjawat awam kontrak

PUTRAJAYA:  Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengambil langkah untuk mengurangkan pembaziran wang termasuk menamatkan perkhidmatan kira-kira 17,000 penjawat awam berstatus kontrak kerana merupakan pelantikan politik daripada pentadbiran kerajaan terdahulu.

Perdana Menteri berkata, pihaknya, bagaimanapun, sedia membantu penjawat awam terbabit bergaji rendah seperti pemandu.

“Ini akan menyusahkan mereka kalau diberhentikan secara tiba-tiba apabila tiada bayaran gaji dan sebagainya. Kita akan memberi jawatan-jawatan lain yang sesuai dengan kelayakan mereka.

 Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.-Bernama.
SIDANG MEDIA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.-Bernama.

“Ini sedang dilakukan memandang ia akan mengambil masa dan memerlukan penyelesaian keputusan oleh saya sendiri,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga akan mengkaji perbelanjaan kerajaan yang lain untuk mengurangkan bebanan kewangan negara.
 
Ditanya  berhubung penjawat awam yang akan diberhentikan, Perdana Menteri berkata pegawai kanan kerajaan yang telah melakukan kesalahan akan diberi cuti atau digantung perkhidmatam mereka.

“Ia semuanya  bergantung kepada tindakan-tindakan  tertentu yang akan dilaksanakan untuk mengetepikan mereka daripada kerajaan,” katanya.

Mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Dr Mahathir berkata beberapa kedudukan dalam kerajaan termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum pelantikan dapat dibuat.

Kelmarin, Ketua Persuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzukifli Ahmad, telah meletak  jawatannya dan melaporkan tugas di Jabatan Peguam Negara, semalam.

 Sementara itu, Dr Mahathir berkata kerajaan sedia membayar balik lebihan kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
 
“Arahan telah diberi supaya kita tidak kutip GST lagi. Kita akan cuba bayar balik kepada mereka,” katanya.

Katanya, beliau telah mendengar taklimat bagaimana untuk menamatkan GST yang diperkenalkan pada April 2015.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini, menetapkan bahawa bekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat di dalam Malaysia serta barang dan perkhidmatan yang diimport yang dikenakan GST pada kadar standard enam peratus akan berkadar sifar berkuat kuasa 1 Jun ini.

Berhubung penetapan harga runcit petrol dan diesel secara mingguan pada setiap hari Rabu, Dr Mahathir berkata tiada kenaikan harga minyak petrol dan diesel.

“Harga semasa akan kekal...kalau ada tidak cukup kerajaan akan akan beri subsidi,” katanya.-Bernama.

Advertisement