Anda di sini

Keluar BN, PBB bincang dengan parti komponen lain

Advertisement
 

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menilai semula kedudukan mereka dalam Barisan Nasional (BN) susulan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) kini memegang pentadbiran negara.

Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sebelum keputusan dilakukan sama ada keluar BN untuk membentuk gabungan baharu, mereka perlu berbincang dengan parti-parti komponen BN yang lain di Sarawak.

Abang Johari yang juga pengerusi BN Sarawak mahu berbincang dan mendapat kata sepakat daripada tiga lagi parti komponen BN Sarawak sebelum memuktamadkan keputusan untuk membentuk gabungan baru sebagai platform politik.

Apa yang pasti, PBB katanya tidak akan menyertai PH.

"Kita akan terus berjuang untuk kepentingan Sarawak dan berusaha lebih gigih dalam menuntut hak-hak Sarawak seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang berkaitan," katanya pada sidang media di ibu pejabat PBB pada Rabu.

BN Sarawak memenangi 19 daripada 31 kerusi pada PRU14 tetapi BN gagal membentuk kerajaan persekutuan apabila majoriti 222 kerusi parlimen dimenangi PH, lantas memaksa Datuk Seri Najib Razak pasrah dengan keputusan pada 9 Mei lepas.

Pada 2016, BN Sarawak, gabungan PBB bersama Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), menang besar dalam Pilihan Raya Negeri dan membentuk kerajaan negeri di bawah pimpinan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem sebelum beliau meninggal dunia pada  11 Januari 2017.

Susulan itu, Abang Johari dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Mengulas lanjut mengenai tarikh untuk membentuk gabungan baru, beliau berkata mereka tidak akan tergesa-gesa dalam perkara tersebut. 

Kerajaan negeri juga katanya tidak bimbang dengan keputusan itu yang didakwa sesetengah pihak akan menyebabkan kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak memberi peruntukan kewangan kepada Sarawak. 

"Di bawah sistem persekutuan, memang sudah menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan menyalurkan dana pembangunan kepada kerajaan negeri," tegasnya.

Beliau mengulangi, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan, tetapi ia tidak wajar disalahertikan parti-parti pemerintah di Sarawak akan menyertai PH.

  • oleh
  • Advertisement