Anda di sini

Gotong-royong bersihkan tanah perkuburan RPR Sebiew

Advertisement
 Janudin (berdiri empat dari kiri) bersama para peserta yang terlibat dalam program gotong-royong berkenaan.
SELESAI SUDAH: Janudin (berdiri empat dari kiri) bersama para peserta yang terlibat dalam program gotong-royong berkenaan.

SERAMAI 50 ahli Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Bintulu (PAKK) dan Pasukan Pelindung Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Bintulu terlibat menjayakan program gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Lorong B, Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sebiew, kelmarin.

Dalam program yang turut menyaksikan penglibatan Jawatankuasa dan Kemajuan Kampung (JKKK) RPR Sebiew dan Taska Clever Kids Station iDaycare Bintulu itu, para peserta bergotong-royong membersihkan kawasan perkuburan berkenaan, memotong rumput serta mengutip sampah-sarap bagi mengekalkan kebersihannya.

Pegawai JKM Bintulu Taddy Ajin, Pegawai JKM Bintulu, Pengerusi PAKK Bintulu Janudin Abdul Rahman dan Pengurus Taska Clever Kids Bintulu Akawati Masud antara yang turut serta dalam program gotong-royong itu.

Berucap pada perasmian program, Janudin melahirkan penghargaan serta terima kasih kepada semua pihak yang mengambil bahagian dalam program berkenaan.

“Melalui program sebegini yang mana kita jalankan sebelum bermula Bulan Ramadan ini secara tidak langsung akan menambahkan lagi pahala dalam kalangan kita semua khusus nya umat Islam,” ujarnya.

Janudin dalam pada itu berkata, PAKK Bintulu akan turut mengadakan program memasak dan mengagihkan bubur lambuk bersama ahli dan anak yatim di bahagian ini pada suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Advertisement