Anda di sini

Gerald dipanggil skuad bawah 19 tahun kebangsaan

Advertisement

KOTA KINABALU: Pemain pertahanan pasukan Piala Presiden Sabah, Gerald Gadit dipanggil menjalani sesi latihan dan pemilihan skuad bawah 19 tahun Kebangsaan pada 20 Mei-7 Jun sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2018.

Gerald adalah wakil tunggal Sabah dalam senarai 27 pemain dari seluruh negara yang dipanggil menyertai sesi latihan dan pemilihan pasukan kendalian Bojan Hodak berkenaan.

"Saya pun terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara ini. Saya tidak sangka terpilih. Tentunya saya gembira dan ini adalah satu suntikan semangat untuk saya terus berusaha lebih gigih lagi membina kerjaya dalam bola sepak.

GERALD Gadit
GERALD Gadit

"Saya akan cuba yang terbaik untuk dapatkan tempat dalam senarai akhir seterusnya mewakili negara ke Kejohanan AFF," kata Gerald ketika dihubungi pada Rabu.

Kejohanan AFF dijadualkan berlangsung di Indonesia pada 29 Jun-15 Julai.

Surat FAM kepada Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) pada Isnin memberitahu bahawa 27 pemain itu akan menjalani sesi latihan dan pemilihan di Wisma FAM bermula 20 Mei.

Daripada jumlah itu, 23 pemain akan disenaraikan menyertai kem latihan di Bangkok, Thailand pada 30 Mei-4 Jun.

Selain merupakan pemain utama skuad Piala Presiden (bawah 21 tahun) Sabah, Gerald juga sering dipanggil membantu skuad bawah 19 tahun Sabah (Piala Belia).

  • oleh
  • Advertisement