Anda di sini

Dr M jangka Najib akan dikenakan pertuduhan

 Tun Mahathir ditemu bual The Wall Street Journal (WSJ) secara sidang video di Yayasan Kepimpinan Perdana, dekat Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
SIDANG VIDEO: Tun Mahathir ditemu bual The Wall Street Journal (WSJ) secara sidang video di Yayasan Kepimpinan Perdana, dekat Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, beliau menjangka pertuduhan akan  dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak susulan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyelewengkan beratus juta dolar Amerika daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Versi dalam talian The Wall Street Journal (WSJ) pada Selasa melaporkan bahawa Dr Mahathir berkata, beliau tidak akan membuat rundingan dengan Najib bagi mendapatkan kembali wang itu.

“Tidak akan ada rundingan,” kata Dr Mahathir seperti dipetik daripada artikel itu, yang ditulis berasaskan wawancara melalui pautan video bagi The Wall Street Journal CEO Council di Tokyo.

Dr Mahathir berkata, siasatan penuh perlu disiapkan sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap Najib.

“Ketika ini kami dalam proses mendapatkan maklumat terperinci tentang perkara yang beliau sembunyikan ketika berkuasa dulu,” katanya.

Pada 2015, The Wall Street Journal melaporkan AS$681 juta dana 1MDB dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Bagaimanapun, Najib dan 1MDB menafikan melakukan sebarang penyelewengan. Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor disenarai hitam daripada meninggalkan negara ini.

Kes berkaitan 1MDB juga disiasat di beberapa negara.

Menurut laporan WSJ itu juga, Dr Mahathir berkata beliau menjangkakan akan menerajui pentadbiran negara selama satu atau dua tahun berikutan kemenangan mengejut yang dicapai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

Sebelum PRU14 diadakan, pemimpin berusia 92 tahun itu membayangkan beliau akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas bekas timbalan perdana  menteri itu dibebaskan dari penjara. Anwar, yang disabitkan kesalahan meliwat, akan dibebaskan selepas mendapat pengampunan penuh.

Dalam laporan WSJ itu, Dr Mahathir berkata, Anwar akan dibebaskan pada Rabu dan beliau menjangka, sebelum diserahkan jawatan perdana menteri, Anwar akan mengetuai satu daripada parti yang menjadi gabungan dalam parti pemerintah. — Bernama