Anda di sini

Dipecat kerana hamil, guru sandaran diberi ganti rugi RM40,000

Advertisement

PUTRAJAYA: Ibu empat anak yang kontraknya sebagai guru sandaran tidak terlatih ditamatkan kerana beliau hamil sembilan tahun lepas, diberikan RM40,000 sebagai ganti rugi am oleh Mahkamah Persekutuan semalam.

Panel lima hakim terdiri daripada Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Azahar Mohamed, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Datuk Seri Balia Yusof dan Datuk David Wong Dak Wah memberikan ganti rugi tambahan RM10,000 kepada Noorfadilla Ahmad Saikin.

Mahkamah, bagaimanapun mengetepikan ganti rugi sebanyak RM10,000 yang diberikan Mahkamah Rayuan kepada Noorfadilla pada 2016 bagi kesengsaraan dan penderitaan dialaminya.

Hakim Ahmad yang mempengerusikan panel itu membenarkan sebahagian rayuan Noorfadilla dan juga membenarkan sebahagian rayuan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya tiada keperluan untuk mahkamah membuat keputusan berhubung tiga persoalan undang-undang berkaitan isu penilaian ganti rugi kerana melanggar hak di sisi perlembagaan.

Pada 2007, Noorfadilla menyaman pegawai pendidikan Daerah Hulu Langat Chayed Basirun dan Ismail  Musa, Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor Dr Zahri Aziz, ketua pengarah Kementerian Pendidikan, Menteri Pendidikan dan kerajaan berhubung penamatan kontraknya sebagai guru sandaran tidak terlatih.

Beliau memohon diisytiharkan bahawa penamatan kontraknya atas alasan beliau hamil tiga bulan, adalah tidak sah.

Pada 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan penting bahawa kehamilan bukan alasan sah untuk Jabatan Pendidikan Selangor  menafikan penggajian Noorfadilla sebagai guru sandaran tidak terlatih.

Pada 10 November, 2014, Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Ahmad Rizki Abdul Jalil memberikan RM300,000 kepada Noorfadilla sebagai ganti rugi am bagi pelanggaran hak di sisi perlembagaan dan RM25,000 sebagai ganti rugi bagi tekanan emosi dan mental.

Pada Februari 2016, Mahkamah Tinggi mengurangkan jumlah ganti rugi itu sebanyak 90 peratus kepada RM30,000 atas alasan ia tidak wajar dan sama seperti mencatut.

Mahkamah Rayuan pada 2016 mengekalkan jumlah ganti rugi am itu dan memberikan RM10,000 kepada Noorfadilla RM10,000 bagi tekanan emosi dan mental.  

Noorfadilla diberikan kebenaran untuk merayu oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun lepas, dan didengar semalam.

Kerajaan juga mengemukakan rayuan balas.

Peguam Honey Tan dan Joachim Xavier mewakili Noorfadilla manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan. — Bernama

Advertisement