Anda di sini

Cetak wang dalam hotel

Advertisement
 Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut.
TUMPAS: Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing ditangkap polis selepas didapati memiliki lebih 200 keping wang kertas RM100 dipercayai palsu dalam satu serbuan ke atas sebuah hotel di sini, Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan berhubung kedua-dua suspek berusia sekitar 30-an itu yang disyaki melakukan pemalsuan wang kertas sekitar jam 7 malam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas bilik penginapan kedua-dua suspek terbabit menemui wang kertas RM100 disyaki palsu serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses wang kertas tersebut.

“Serbuan dilakukan atas makluman awam dan hasil pemeriksaan berjaya menemui 205 helaian kertas cetakan wang RM100 yang belum cukup sifat serta 19 keping wang kertas RM100 juga dipercayai palsu yang telah cukup sifat.

“Selain itu, tiga unit telefon bimbit serta seunit alat pengesan wang palsu turut ditemui di dalam bilik tersebut,” ujarnya ketika mengesahkan tangkapan tersebut semalam.

Selain itu, Mustafa Kamal berkata, pemeriksaan lanjut yang dijalankan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching juga mendapati kereta yang digunakan kedua-dua suspek adalah kereta curi.

“Polis turut memeriksa sebuah kereta yang digunakan suspek dan hasilnya mendapati kereta tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu serta pernah dilaporkan hilang di kawasan Tabuan Jaya.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta tersebut menemui seunit mesin pencetak dan dua botol penyembur warna,” katanya lagi.

Kedua-dua suspek serta barang-barang kes kemudian dibawa ke IPD Kuching di Simpang Tiga di sini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 489D Kanun Keseksaan kerana memiliki alat atau benda bagi pemalsuan matawang kertas.

“Suspek didapati terlibat dalam empat kes lampau berkaitan wang palsu dan disyaki 17 lagi kes wang palsu yang dilaporkan kemudian.

“Kita juga percaya ini bukan satu sindiket kerana hasil siasatan awal hanya suspek yang membuat dan menggunakan wang palsu tersebut,” jelas Mustafa sambil menambah kedua-dua suspek direman tujuh hari untuk membantu siasatan polis.

  • oleh
  • Advertisement