Anda di sini

Anwar Ibrahim bebas hari ini

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan  Agong Sultan Muhammad V.

Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bermesyuarat hari ini dan mempertimbangkan kes rayuan pengampunan penuh beliau, menurut kenyataan Istana Negara.

BEBAS .. Anwar Ibrahim dan isteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara hari ini. Sultan Muhammad V berkenan memberi pengampunan penuh kepada Anwar dan diberikan kebebasan serta-merta.

Ketua umum  PKR itu menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan dengan kesalahan meliwat.

Sultan Muhammad V berkenan menerima menghadap Anwar, isterinya yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Istana Negara tengah hari ini.

Anwar sebelum itu dibenarkan keluar wad Hospital Rehabilitasi Cheras, tempat beliau menjalani proses pemulihan selepas pembedahan, dan terus ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Bergerak  dengan iringan kereta dan motosikal polis, Anwar tiba di Istana Negara pada 11.50 pagi dan diterima menghadap Seri Paduka kemudian.

Majlis menghadap itu berlangsung hampir sejam.

Pembebasan Anwar yang dipenjarakan sejak Februari 2015 itu menjadi lebih bermakna apabila ia dibuat sehari sebelum umat Islam menyambut kedatangan Ramadan, esok.

Pembebasan beliau daripada penjara yang merupakan antara janji Pakatan Harapan yang turut dianggotai PKR, pada pilihan raya umum Rabu lalu, menjadi kenyataan hanya seminggu setelah pilihan raya berakhir.

Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan media bukan sahaja tempatan malah luar negara yang berkampung sejak pagi tadi di hospital dan Istana bagi mengikuti perkembangan pembebasan bekas timbalan perdana menteri dan juga bekas menteri kewangan itu.

PULANG ... Anwar Ibrahim tiba di perkarangan rumahnya di Segambut hari ini. Anwar, 71, dibebaskan serta-merta setelah rayuan pengampunan penuhnya yang diputuskan Lembaga Pengampunan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Kawasan luar Istana Negara turut dipenuhi penyokong Anwar.

Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan kes liwat.

Anwar, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, pada asalnya dijadual dibebaskan pada 8 Jun.-Bernama.